Dua beruang matahari masuk perangkap

Dua ekor beruang matahari seberat kira-kira 100 kilogram berjaya ditangkap sepasukan anggota Perhilitan Terengganu di Kampung Kuala Por, dekat sini awal pagi Jumaat. - Foto ihsan Perhilitan Terengganu
Dua ekor beruang matahari seberat kira-kira 100 kilogram berjaya ditangkap sepasukan anggota Perhilitan Terengganu di Kampung Kuala Por, dekat sini awal pagi Jumaat. - Foto ihsan Perhilitan Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Dua ekor beruang matahari seberat kira-kira 100 kilogram berjaya ditangkap sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu di Kampung Kuala Por, dekat sini awal pagi Jumaat.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, beruang matahari tersebut memasuki perangkap yang dipasang sejak dua minggu lalu, susulan aduan penduduk mengenai kehadiran haiwan berkenaan yang memasuki kawasan perkampungan.

"Beruang pertama yang berjaya ditangkap sekitar jam 3 pagi tadi merupakan seekor beruang matahari jantan.

"Dua jam kemudian, seekor lagi beruang telah masuk perangkap. Jantina belum dapat dikenal pasti kerana perangkap digunakan jenis tertutup," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua beruang tersebut akan dilepaskan ke habitat yang sesuai di kawasan hutan simpan.

Kean Seong turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan liar.

"Mereka diminta segera membuat aduan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Baru-baru ini media tempatan melaporkan kebimbangan penduduk di Kampung Kemat, di sini berikutan kehadiran seekor beruang matahari yang memasuki kawasan perkampungan.

Artikel Berkaitan:

Kelibat haiwan berkenaan turut dilihat komuniti di Kampung Kuala Por yang terletak berhampiran dengan Kampung Kemat, sekali gus turut mengundang kegusaran penduduk setempat.