Kenangan mengusik jiwa Dollah, Zainal di Pestabola Merdeka

Zainal (dua dari kiri) dan Dollah (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Pestabola Merdeka 2023 pada Khamis. - Foto Football Association of Malaysia
Zainal (dua dari kiri) dan Dollah (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Pestabola Merdeka 2023 pada Khamis. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

LEGENDA bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan berkongsi kenangan manis sepanjang mewakili negara pada Pestabola Merdeka yang merupakan pertandingan bola sepak terulung di rantau Asia suatu ketika dahulu.

Bagi Dollah, pasukan yang dibentuk untuk beraksi pada Pestabola Merdeka 1986 merupakan skuad yang terbaik apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Jepun di pentas separuh akhir, sebelum membenam Czechoslovakia di final, sekali gus merangkul kejuaraan.

"The best part masa lawan Jepun, Jepun letak seorang pemain untuk kawal Zainal (Zainal Abidin), dalam perlawanan itu kita ketinggalan 1-0 di separuh masa, saya bincang dengan Zainal untuk buat sesuatu kerana kami ada pasukan terbaik dan itu peluang untuk kami menang.

"Pada separuh masa kedua Zainal jaringkan gol penyamaan dan saya jaringkan gol kemenangan, the beauty of pasukan 1986 di situ dan di final saya tak sangka kami boleh menang sampai 3-0," kata Pengurus Sri Pahang FC itu ketika ditemui pada majlis pelancaran Pestabola Merdeka 2023 pada Khamis.

Dollah yang membuat penampilan di Pestabola Merdeka sebanyak dua kali iaitu pada 1986 dan 1992, percaya barisan pemain skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon ketika ini mempunyai peluang merangkul gelaran juara tahun ini.

"Dengan ada pemain sekarang saya nampak ini (seperti) pasukan negara pada era 70an dan 80an, dengan pemain-pemain yang saya nampak agak berbeza dengan sebelum ini, saya percaya mereka boleh bawa pulang piala Merdeka," kata bekas pengendali skuad kebangsaan berusia 59 tahun itu.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, mewakili skuad kebangsaan buat julung kali ketika masih berusia 17 tahun bagi menghadapi Pestabola Merdeka 1980 adalah kenangan paling manis.

"Kerana semasa di bangku sekolah saya ke stadium tengok Pestabola Merdeka dan lihat Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh beraksi, kemudian selepas itu saya dapat panggilan wakil negara ketika berumur 17 tahun dan dapat bermain bersama mereka, itu yang tak boleh dilupakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya pernah jadi juara, naib juara dan tempat ketiga tetapi inilah (Pestabola Merdeka) yang jadikan saya pemain bola yang baik kerana Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi (menyertai) kami (pemain) dapat improve," katanya yang menyifatkan Pestabola Merdeka di rantau Asia seperti Piala Dunia pada era itu.

Pestabola Merdeka diilhamkan Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersempena kemerdekaan tahun 1957 dan merupakan pertandingan bola sepak tertua di Asia.

Malaysia yang diwakili skuad Bawah 23 Tahun (B-23) bimbingan Datuk Ong Kim Swee muncul juara kali terakhir Pestabola Merdeka dianjurkan iaitu pada 2013, sekali gus menambah koleksi gelaran ke-12.

Selepas 10 tahun menyepi, kejohanan itu akan dianjurkan kembali dari 13 hingga 17 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, disertai Malaysia, India, Palestin dan Tajikistan. - Bernama