Lelaki sakit mental bakar tiga rumah

Foto: Bernama
Foto: Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Tiga buah rumah berkembar di Pangkalan Bangor, di sini musnah dalam kebakaran hari ini dipercayai dibakar oleh seorang lelaki mengalami sakit mental yang menyewa di salah sebuah rumah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lelaki berusia 48 tahun itu tinggal bersendirian di rumah itu selepas bercerai dengan isterinya.

"Menurut pihak bomba, kebakaran berlaku kira-kira jam 3 petang dan JKM yang hadir memberi bantuan kepada mangsa mendapat maklumat bahawa lelaki itu telah melarikan diri selepas kejadian tersebut," katanya kepada pemberita di sini tadi.

Beliau berkata pihaknya telah membuat laporan polis berhubung maklumat yang diperoleh dan polis sedang mengesan lelaki tersebut untuk membantu siasatan.

Boon Poh berkata penghuni dua lagi rumah yang terlibat dalam kebakaran ditempatkan di sebuah dewan di situ untuk sementara.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 3.02 petang dan sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda bergegas ke lokasi kebakaran.

"Ketika bomba tiba di lokasi kejadian api sedang marak dan dua buah rumah telah musnah terbakar manakala sebuah lagi sedang terbakar, " katanya.

Beliau berkata api dapat di kawal pada pukul 3.30 petang dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian.- Bernama

Artikel Berkaitan: