12 bot pelancongan MRC berarak sambil kibar Jalur Gemilang

Bot MRC menyertai lintas langsung perarakan di Sungai Melaka di sini, pada Khamis.
Bot MRC menyertai lintas langsung perarakan di Sungai Melaka di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Sambutan Hari Kebangsaan ke- 66 di Melaka membawa kelainan pada tahun ini apabila bot pelancongan Melaka River Cruise (MRC) mengambil bahagian menyertai lintas langsung perarakan menaiki bot.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Murad Husin berkata, sebanyak 12 bot dan dua jet ski menyertai perarakan itu, sekali gus memecah rekod 18 tahun penubuhan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Menurutnya, sejak penubuhan agensi di bawah kerajaan negeri itu, PPSPM tidak pernah berarak menggunakan bot sebelum ini.

"Kali ini PPSPM terpanggil untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan ini dapat mempromosikan lagi perkhidmatan yang ditawarkan.

"Ini keunikan yang kita tonjolkan pada sambutan kali ini dan memberi keterujaan bukan sahaja kepada peserta malah pengunjung yang menyaksikannya," katanya ketika ditemui di Banda Hilir, di sini pada Khamis.

Jelasnya, lintas langsung itu membabitkan seramai 250 peserta dari Jeti Dataran Pengkalan Rama ke Muara Sungai Melaka dan berpatah balik sejauh sembilan kilometer.

"Daripada jumlah itu, 200 peserta merupakan pesilat dari Persatuan Seni Silat Kunci Melayu Melaka (SIKUME) manakala 50 kanak-kanak yang juga anak kakitangan PPSPM berpakaian etnik yang terdapat di Melaka.

"Pesilat yang berada di atas bot juga membuat persembahan bunga silat sambil mengibarkan Jalur Gemilang," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, hampir 10,000 peserta daripada pelbagai agensi mengambil bahagian pada acara perbarisan dan perarakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.