Melaka pertimbang premis swasta disyaratkan perdengar lagu Negaraku setiap Isnin

Ab Rauf hadir pada sambutan Malam Ambang Merdeka peringkat negeri di Dataran Sejarah Ayer Keroh di Melaka malam tadi. - Facebook Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf hadir pada sambutan Malam Ambang Merdeka peringkat negeri di Dataran Sejarah Ayer Keroh di Melaka malam tadi. - Facebook Ab Rauf Yusoh
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan menetapkan syarat kepada premis swasta termasuk pasar raya di negeri ini supaya memperdengarkan lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya setiap pagi Isnin.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu adalah sebagai susulan arahan kepada semua pejabat kerajaan di negeri ini yang mewajibkan dua lagu patriotik berkenaan dikumandangkan setiap Isnin pukul 10 pagi.

"Kita akan lihat kesesuaiannya, mungkin akan diperluas ke lokasi tumpuan ramai pada masa yang sesuai nanti," katanya selepas menyampaikan amanat pada sambutan Malam Ambang Merdeka peringkat negeri di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan pada April lepas, kerajaan negeri mengeluarkan pekeliling mewajibkan semua pejabat jabatan dan agensi kerajaan memperdengarkan lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya pada pukul 10 pagi setiap Isnin.

Semua kakitangan dan individu yang mendengarnya pula perlu berdiri sebagai tanda hormat.

Terdahulu, lebih 30,000 pengunjung membanjiri lokasi sambutan berkenaan yang diadakan bersempena dengan Hari Kebangsaan ke-66 pada Khamis.

Acara Ambang Merdeka disambut meriah dengan persembahan pentas termasuk beberapa program hiburan patriotik serta pertunjukan bunga api turut mewarnai ruang udara Ayer Keroh selama 10 minit. - Bernama.

Artikel Berkaitan: