Dalamkan sungai, naik taraf kunci air atasi banjir di Batu Tiga

Danial Al Rashid
Danial Al Rashid
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja mendalamkan Sungai Klang dan menaik taraf kunci air di Taman Sri Muda, Selangor perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir sebelum ia bertambah buruk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Harun berkata, banjir yang berlaku di kawasan Batu Tiga sebenarnya berpunca dari luar kawasan.

“Beberapa tempat yang sering dilanda banjir teruk seperti Seksyen 19, Padang Jawa, Seksyen 17 dan Kampung Kebun Bunga.

“Saya lihat beberapa pelan untuk mencari jalan penyelesaian dan didapati dua perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan iaitu pertama, menaik taraf kunci air Taman Sri Muda dan kedua melakukan pendalaman Sungai Klang.

“Selain faktor hujan lebat dan paras sungai naik, air yang tersekat menjadi punca kepada banjir. Sekiranya kedua-dua perkara ini dilaksanakan, air akan dapat dialirkan keluar dari kawasan Batu Tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk ‘Cool’ ke jadi YB? yang dihoskan oleh Iman Irdina Sudirman pada Rabu.

Iman Irdina (kiri) bersama Danial Al Rashid (kanan) dalam program Sinar Live bertajuk 'Cool' ke jadi YB? pada Rabu.
Iman Irdina (kiri) bersama Danial Al Rashid (kanan) dalam program Sinar Live bertajuk 'Cool' ke jadi YB? pada Rabu.

Berdasarkan laporan Sinar Harian pada 20 Ogos lalu, masalah banjir, projek pembangunan, menaik taraf infrastruktur dan memperkasakan ekonomi anak muda antara perancangan yang akan dilaksanakan bagi memajukan kawasan Batu Tiga.

Artikel Berkaitan:

Perkara tersebut merupakan manifesto yang diucapkan dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu ketika menentang calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun.

Tambah Danial, beliau meneruskan perjuangan Allahyarham bapanya, Harun Salim Bachik berhubung caruman mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi penggiat seni.

“Pada 2019, KWSP berjaya meluluskan caruman untuk penghantar makanan Foodpanda (p-hailing), Grab (e-hailing) dan suri rumah.

“Suri rumah tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi masih boleh carum, jadi saya lihat tidak mustahil penggiat seni tanah air kita juga boleh lakukan,” ujarnya.