PM jamin semua sekolah dilengkapi prasarana asas Oktober ini

Anwar (tengah) ketika melawat reruai pameran Kemerdekaan bersama Ahmad Zahid (dua, kiri) dan Fadillah (kiri) pada majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di PICC pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar (tengah) ketika melawat reruai pameran Kemerdekaan bersama Ahmad Zahid (dua, kiri) dan Fadillah (kiri) pada majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di PICC pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa semua sekolah akan dilengkapi dengan prasarana asas menjelang akhir Oktober ini.

Menurutnya, menyediakan prasarana asas seperti bumbung dan tandas lengkap adalah lebih baik berbanding membina mercu tanda yang gah.

"Sebelum akhir bulan Oktober, semua sekolah di negara seperti Sekolah Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan Jenis Cina, Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, kita jamin punyai prasarana asas dengan bumbung, tandas dan sebagainya," katanya menerusi ucapan Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan menteri kabinet serta pegawai kanan kerajaan.

Sementara itu dalam perkembangan berbeza, Anwar berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dilancarkan Jumaat ini bakal menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.

Ujar beliau, NIMP 2030 akan memberi tumpuan kepada anjakan serta membuka ruang lebih luas untuk negara.

"Tidak hanya memutuskan kepada sesuatu sektor sahaja tetapi ke arah matlamat dan misi menjadikan Malaysia sebagai negara industri dengan teknologi tinggi, transformasi digital selain memberi manfaat kepada ratusan ribu anak muda dalam bidang pekerjaan baharu," katanya.

Jelas Anwar, dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini Malaysia kembali menjadi tumpuan syarikat gergasi dunia yang bersetuju menjadikan negara ini sebagai hab pelaburan penting.

Artikel Berkaitan:

“Bagi kita (pelaburan luar) sangat penting kalau ia dapat diteruskan. Malaysia boleh memaknai kemerdekaan itu di mana setiap anak muda dijamin kerja dan tidak menganggur," katanya.

Ujar beliau, kerajaan sedang merangka untuk melakukan perubahan di dalam sistem upah serta pelaksanaan gaji penjawat awam.

"Bagi sektor swasta pula, kita memperkenalkan satu kadar upah yang lebih progresif supaya ia tidak sama dengan gaji lama,” jelasnya.