Lans koperal didakwa rompak gelang emas suri rumah

Tertuduh (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dakwaan merompak gelang emas seorang wanita pada 23 Ogos lalu.
Tertuduh (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dakwaan merompak gelang emas seorang wanita pada 23 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan merompak gelang emas milik seorang suri rumah pada 23 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Khuzairi Shaari, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) didakwa merompak gelang tangan emas milik mangsa berusia 59 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kampung Tok Bintang, Kuala Berang di daerah Hulu Terengganu antara jam 9.45 hingga 10.30 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayatuddin Muhammad.

Artikel Berkaitan: