Pasangan kekasih disyaki curi gelang emas diberkas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Sepasang kekasih ditahan kerana disyaki mencuri seutas gelang tangan emas bernilai RM618 di sebuah kedai emas di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 5.40 petang itu, seorang pekerja berusia 25 tahun telah didatangi sepasang kekasih untuk membeli cincin.

"Suspek wanita berusia 26 tahun itu telah meminta pengadu membawa keluar tiga bentuk cincin dan diletakkan di atas dulang pameran sambil berpura-pura mencuba serta memakai salah satu gelang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Azam berkata, pasangan tersebut bersetuju untuk membeli satu bentuk cincin dengan harga RM308.

"Mereka cuba buat pembayaran secara dalam talian tetapi pihak syarikat tidak menerima sebarang bayaran.

"Selepas itu, pasangan tersebut tidak mahu membeli cincin berkenaan kerana pembayaran tidak boleh diterima dan beredar," katanya.

Beliau berkata, pengadu bagaimanapun sedar seutas gelang tangan yang dicuba perempuan tersebut telah hilang disyaki dicuri.

"Kita telah memberkas seorang wanita yang juga pekerja pereka tekstil dan teman lelakinya berusia 35 tahun bekerja sebagai penghantar barang di Bandar Saujana Putra, Jenjarom pada jam 8.30 malam, Isnin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azam berkata, polis merampas beberapa barang kes iaitu tiga telefon bimbit pelbagai jenama, dua helai seluar warna coklat, sepasang kasut, Perodua Myvi berserta kunci, seutas rantai tangan, sebuah topi dan sehelai t-shirt warna putih.

"Siasatan polis mendapati modus operandi kedua-dua suspek menyasarkan kedai emas.

"Suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, ujian air kencing ke atas pasangan tersebut didapati positif dadah jenis morfin, opiate dan benzo.

"Pasangan kekasih itu direman empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.