Rasai kehangatan merdeka di 34 R&R PLUS

Pelbagai hiasan menarik yang diketengahkan oleh peniaga R&R PLUS bagi menyahut cabaran dalam pertandingan kawasan R&R berhias terbaik yang bertemakan ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.
Pelbagai hiasan menarik yang diketengahkan oleh peniaga R&R PLUS bagi menyahut cabaran dalam pertandingan kawasan R&R berhias terbaik yang bertemakan ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berpeluang merasai kehangatan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 apabila 34 kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang jajaran kendaliannya dihiasi dengan pelbagai hiasan menarik bertemakan kemerdekaan negara.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan, PLUS menganjurkan pertandingan kawasan R&R berhias terbaik yang bertemakan ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.

Katanya, ia bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuhkan perpaduan selari dengan konsep Malaysia Madani dalam kalangan pengguna lebuh raya di kawasan rehat semua rangkaian Lebuhraya PLUS.

"Dalam pertandingan ini, sebanyak 34 R&R termasuk hentian sebelah dan restoran jejantas sepanjang Lebuhraya PLUS dan Pantai Timur 2 (LPT2) mengambil bahagian.

"Setiap kawasan rehat yang bertanding akan dihias mengikut kreativiti rakan-rakan niaga PLUS dengan menggunakan bahan-bahan dikitar semula. Pertandingan ini sedang berlangsung sehingga 16 September 2023," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Salah satu kreativiti yang menunjukkan bendera Malaysia.
Salah satu kreativiti yang menunjukkan bendera Malaysia.

Tambah Nik Airina, juara pertandingan bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM6,000.

"Pemenang tempat keempat pula akan menerima wang tunai RM5,000 dan RM4,000 bagi tempat kelima. Apa yang menarik kami turut memberi hadiah sebanyak RM2,000 bagi penerima anugerah khas juri.

Artikel Berkaitan:

"Kami amat menghargai sokongan rakan niaga di R&R kerana memberi kerjasama bagi menghasilkan hiasan kawasan rehat yang sangat kreatif dan mewujudkan suasana Hari Kebangsaan dalam kalangan pengunjung,” jelasnya.

Selain itu, PLUS turut menganjurkan Peraduan InstaFoto #KibaranMalaysiaKuGemilang menerusi media sosial Instagram @PLUS_Malaysia sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

"Peraduan ini mengajak orang ramai untuk memuat naik gambar atau swafoto paling menarik bersama Jalur Gemilang atau hiasan bertemakan Hari Kebangsaan di mana-mana lokasi yang selamat sepanjang Lebuhraya PLUS dan LPT2 berserta kapsyen menarik berkaitan tema kemerdekaan.

“Pemenang peraduan InstaFoto PLUS berpeluang membawa pulang hadiah utama Apple Watch Series 8 dan lima hadiah saguhati berupa Airpods (3rd Generation) jenama Apple dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM6,500,” katanya.

Beliau turut mengharapkan agar program berkenaan mampu memupuk rasa perpaduan dan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Bukan sekadar meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, ini juga merupakan satu peluang untuk para pengguna Lebuhraya PLUS menunjukkan rasa bangga sebagai anak Malaysia,” ujarnya.