Bank Islam rekod untung bersih RM254.2 juta

Mohd Muazzam (kiri) dan Azizan dalam sesi bersama pemberita di Menara Bank Islam di ibu negara pada Rabu.
Mohd Muazzam (kiri) dan Azizan dalam sesi bersama pemberita di Menara Bank Islam di ibu negara pada Rabu.
A
A
A

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merekodkan peningkatan 14 peratus keuntungan bersih sebanyak RM254.2 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 berbanding tempoh sama pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, hasil Bank Islam meningkat 39.4 peratus kepada RM2.24 bilion (RM2,224.1 juta) dalam tempoh tersebut berbanding RM1.56 bilion (RM1,595.9 juta) tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan didorong pertambahan pendapatan bersih ekoran pendapatan bukan berasaskan dana lebih tinggi iaitu RM117.2 juta atau 134.8 peratus dipacu pendapatan pelaburan lebih baik serta laba bersih lebih tinggi daripada transaksi pertukaran asing.

"Pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 3.1 peratus menerusi pertumbuhan pembiayaan kasar y-o-y dan pengukuhan margin pendapatan bersih (NIM) kepada 2.11 peratus bagi 2Q2023 daripada 2.06 peratus pada 1Q2023.

"Prestasi lebih baik ini diterjemah kepada perolehan sesaham bernilai 11.37 sen dan pulangan ekuiti bersih tahunan sebanyak 7. 1 peratus," katanya dalam sesi bersama pemberita di Menara Bank Islam di ibu negara pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Bank Islam, Azizan Abd Aziz.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan setakat 30 Jun 2023, jumlah aset Bank Islam meningkat ke RM87.5 bilion tumbuh sebanyak 5.3 peratus y-o-y, dipacu oleh pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.

Jelasnya, pembiayaan kasar mengukuh 9.3 peratus y-o-y kepada RM66.3 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM72.3 bilion dengan peningkatan sebanyak RM2 bilion y-o-y atau 2.8 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Pengukuhan ini berikutan pertumbuhan teguh sebanyak 6.4 peratus y-o-y atau RM1.7 bilion dalam jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan (CASATIA) untuk berada pada RM28.3 bilion.

"Komposisi ini menjadikan aras sihat sebanyak 39.1 peratus dalam jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan dan jumlah nisbah modal Bank Islam kekal teguh pada 19.6 peratus," katanya.

Jelasnya lagi, kedudukan modal dan kecairan yang sihat juga mencerminkan momentum pertumbuhan dan asas kami kekal teguh.

Menurut Mohd Muazzam, setakat 30 Jun 2023, nisbah pembiayaan terjejas kasar juga bertambah baik ke 1.03 peratus berbanding 1.37 peratus pada akhir Mac 2023 dan kekal lebih baik berbanding purata industri sebanyak 1.75 peratus.

"Prestasi separuh pertama tahun ini mencerminkan keutuhan dan fokus Bank Islam dalam menyampaikan nilai kepada pemegang taruh walaupun berdepan landskap pasaran yang mencabar dan perkembangan global yang lemah.

"Walau bagaimanapun, Bank Islam terus berwaspada dengan ketidaktentuan ini melalui pengurusan kecairan dan pendanaan kos secara berhemat serta mengambil langkah-langkah untuk mengoptimumkan kos," katanya.

Katanya lagi, Bank Islam kekal teguh dalam melaksanakan hala tuju strategi lima tahun (LEAP25) yang merangkumi pembangunan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan kewangan sosial.

"Walaupun kami berusaha untuk mengukuhkan perniagaan, rangkuman kewangan kekal sebagai misi utama kami.

"Asas Bank Islam adalah bersandarkan nilai, memacu kami untuk meneroka potensi luas kewangan Islam dan memanfaatkan instrumen kewangan Islam demi manfaat komuniti dan alam sekitar.

"Sebagai bank perintis program iTEKAD, kami berhasrat untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi dan memupuk aliran pendapatan mampan untuk usahawan mikro yang layak dengan memperkasakan mereka melalui pembinaan kapasiti," ujar Mohd Muazzam.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2020 sehingga 31 Julai 2023, Bank Islam telah mengagihkan sebanyak RM14 juta bagi iTEKAD dan pencepat pendanaan, secara langsung memanfaatkan lebih 900 penerima dan menggalakkan mobiliti ke atas buat mereka.