Sarawak sedia bayar RM1b kepada kerajaan Persekutuan

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg - Foto Bernama
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg - Foto Bernama
A
A
A

SRI AMAN - Kerajaan Sarawak bersedia untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1 bilion secara berperingkat kepada kerajaan Persekutuan bagi membaiki sekolah-sekolah daif di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian dalam ucapannya kepada guru-guru ketika merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat negeri tahun ini di sini, hari ini.

Abang Johari berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk mengenal pasti cara program itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Formula itu sedang dilaksanakan, dan untuk pembayaran pertama, kerajaan Sarawak akan menyalurkan RM300 juta, pembayaran kedua RM300 juta lagi dan pembayaran ketiga RM400 juta - RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

“Malah, kami telah menyediakan cek,” kata beliau

Abang Johari berkata Sarawak mahu memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan di negeri ini dan tidak mahu isu menyerahkan isu pembangunan pendidikan kepada kerajaan persekutuan semata-mata untuk dilaksanakan.

"Untuk itu, saya telah menubuhkan kementerian pendidikan Sarawak dengan Datuk Seri Michael Manyin sebagai menteri pertamanya.

"Penubuhan kementerian pendidikan negeri membolehkan peruntukan kewangan disalurkan untuk pembangunan pendidikan di Sarawak selain peruntukan persekutuan dan kerajaan terlibat dalam penggubalan dasar dan pentadbiran," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: