Jualan Gudang Karangkraf kembali sempena cuti sekolah

Jualan Gudang Karangkraf kembali dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula 31 Ogos hingga 10 September nanti.
Jualan Gudang Karangkraf kembali dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula 31 Ogos hingga 10 September nanti.
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf kembali memeriahkan aktiviti keluarga dan kanak-kanak bersempena musim cuti persekolahan dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula 31 Ogos hingga 10 September nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf (GBK), Firdaus Hussamuddin berkata, pelbagai aktiviti menarik yang berilmiah serta bermanfaat disediakan untuk pengunjung.

Menurutnya, antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah pertandingan mewarna, pertandingan membaca dan pertandingan menulis mushaf.

“Istimewanya dalam Jualan Gudang Karangkraf kali ini kerana diadakan semasa cuti sekolah, jadi keluarga boleh datang bawa anak-anak mereka ke sini untuk meluangkan masa bersama.

“Kali ini lebih menarik kerana terdapat pertindihan tarikh dengan Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang bermula 8 hingga 10 September, jadi inilah antara tarikannya yang mana orang ramai boleh datang dalam dua acara serentak,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Firdaus dan Anis Syamila
Firdaus dan Anis Syamila

Sebelum ini, Jualan Gudang Karangkraf kali pertama berlangsung bermula 27 Januari hingga 6 Februari lalu, jam 9 pagi hingga 7 petang di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemasaran GBK, Anis Syamila Abdul Halim memaklumkan, Jualan Gudang Karangkraf diadakan selama 11 hari pada kali ini yang mana kebiasaannya hanya 10 hari dengan tawaran buku serendah RM2 dan diskaun sehingga 80 peratus untuk tajuk-tajuk terpilih.

Menurutnya, antara aktiviti lain ialah seperti sesi temu mesra bersama penulis buku, sesi temu bual Krafikir bersama panelis industri buku, mewarna tote bag, permainan detektif di bilik C.S.I, sesi perkongsian al-Quran dan juga cabutan bertuah sepanjang 11 hari acara itu berlangsung.

Tambah beliau, pada hari pertama Jualan Gudang Karangkraf, pihaknya akan menyambut Hari Kebangsaan bersama pengunjung dan mereka berpeluang memenangi hadiah sekiranya memakai baju bertemakan kemerdekaan.

“Orang ramai perlu datang untuk memborong lebih daripada 90 tajuk buku baharu terbitan GBK iaitu Alaf 21, Buku Prima, Karya Bestari dan Kids Prima dengan diskaun sehingga 20 peratus.

“Untuk sepanjang tahun, kita (GBK) mempunyai 80 tajuk baharu dan istimewa, pengunjung boleh dapatkan lagi 10 tajuk baharu yang pertama kalinya dipasarkan di Jualan Gudang Karangkraf,” ujarnya.