Kempen #SaySomethingNice pupuk nilai sedekahkan kata-kata manis

Majlis Pelancaran Rasuah Busters #SaySomethingNice yang berlangsung di Studio Sinar Harian hari ini. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Majlis Pelancaran Rasuah Busters #SaySomethingNice yang berlangsung di Studio Sinar Harian hari ini. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen #SaySomethingNice diwujudkan sebagai salah satu cara untuk memupuk masyarakat agar berpada-pada dalam memberi pandangan atau berbicara bagi memperkukuhkan lagi semangat perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy berkata, berbeza pandangan tidak membolehkan seseorang individu itu mengeluarkan kenyataan yang melebihi had sepatutnya hingga mencetuskan rasa kurang senang pihak lain.

Justeru katanya, kempen bertemakan 'berpada-pada dan maju ke hadapan' yang akan bermula pada 31 Ogos sehingga 16 September ini bersempena bulan kemerdekaan dan diteruskan dengan sambutan Hari Malaysia itu menjadi permulaan kepada usaha 'sedekahkan kata-kata manis'.

"Sebenarnya kempen ini telah bermula lama. Ia bermula pada tahun 90an lagi, yang mana ia tercetus selepas kita melihat ramai pihak yang melontarkan pandangan berbeza mengenai pengenalan Hari Malaysia. Masyarakat ketika itu ada mempersoalkan mengapa perlu diperkenalkan 16 September sebagai Hari Malaysia sedang kita telah mempunyai tarikh keramat 31 Ogos.

"Lanjutan itu, institusi saya (Zubedy) mula mempromosikan kempen ini dan kini ia telah berkembang dan tahun ini kita tampil dengan tema 'berpada-pada dan maju ke hadapan'. Harapan kita agar masyarakat berpada-padalah dalam berkata-kata atau memberikan pandangan.

ANAS
ANAS

"Kalau kita hendak terjemah (maksud daripada tema kempen tahun ini) ialah sedekahkan kata-kata manis. Itu mungkin cara paling sesuai untuk kita perkatakan mengenainya supaya kita dapat pupuk semangat perpaduan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Rasuah Busters #saySomethingNice di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Presiden Animas, Amir Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Pasukan #RasuahBusters berkolaboratif dengan Zubedy dan Animas dalam menjayakan kempen untuk #SaySomethingNice kali ini.

Mengulas lanjut, Anas berharap kempen yang diperkenalkan itu berupaya memupuk lebih nilai dalam kalangan masyarakat untuk berpegang teguh dengan penyatuan serta mengelak daripada mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya.

"Melihat kepada tema kita, iaitu berpada-pada atau jangan berlebihan ketika melontarkan pandangan itu, tujuannya tidak lain adalah untuk menjaga keharmonian," katanya.