Kempen #SaySomethingNice semarakkan sambutan Merdeka

Majlis Pelancaran Rasuah Busters #SaySomethingNice yang berlangsung di Studio Sinar Harian hari ini. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Majlis Pelancaran Rasuah Busters #SaySomethingNice yang berlangsung di Studio Sinar Harian hari ini. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Komunikasi positif dan adab mulia menjadi perkara asas yang perlu diberi perhatian dalam usaha membina sebuah negara stabil dan berkompetensi.

Sehubungan itu Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malayisa (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, pihaknya bersama Zubedy (M) Sdn Bhd menyemarakkan kempen #SaySomethingNice bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

"Memerangi rasuah memerlukan pelbagai pendekatan strategik dan komprehensif. Sasaran sebenar untuk pencegahan perlu dilakukan bermula di peringkat akar umbi rakyat sehinggalah kepada pucuk kepimpinan negara.

"Kempen #SaySomethingNice adalah hak semua rakyat Malaysia dan semua orang boleh lakukan apa sahaja sebagai refleksi kesejahteraan yang ingin dicapai dalam memenuhi erti kemerdekaan.

"Rasuah Busters memulakannya dengan mengajak orang ramai untuk menyatakan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang berpegang teguh pada prinsip dan tidak rasuah," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Rasuah Busters #SaySometingNice pada Selasa.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub di Kompleks Karangkraf.


Doodle gergasi yang akan dipamerkan di Kompleks Karangkraf bersempena kempen #SaySomethingNice.
Doodle gergasi yang akan dipamerkan di Kompleks Karangkraf bersempena kempen #SaySomethingNice.

Nurhayati berkata, kempen tersebut turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Animasi Malaysia (Animas) menerusi pameran lukisan doodle gergasi hasil daripada lima pelukis yang akan dipamerkan di kompleks berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, lukisan berkenaan sebagai manifestasi suara hati rakyat yang cintakan negara dan inginkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih daripada rasuah.

"Ia simbolik bahawa corak negara ini harus dilukis sendiri oleh rakyatnya. Doodle gergasi Rasuah Busters yang dihasilkan pelukis tempatan dengan lima gaya 'stroke' berbeza merupakan representasi abstrak mesej kebangkitan rakyat Malaysia memerangi rasuah dari pelbagai sudut.

"Ilustrasi yang dihasilkan ini akan dilengkapkan oleh orang ramai yang akan membantu mewarnai kanvas sepanjang tempoh Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung mulai 8 hingga 10 September nanti.

"Selain itu ia merupakan simbolik kombinasi hasil antara kumpulan pemikir, pakar dan orang ramai yang akan ditumpahkan ke kanvas melambangkan Malaysia saling melengkapi, memerlukan dan harmoni di bawah kibaran Jalur Gemilang," ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mengutamakan keharmonian dengan memilih untuk bercakap dengan bahasa cermat dan berhemat selain tidak saling mencerca, menghina dan menimbulkan provokasi sehingga menggugat keamanan Malaysia.

Ia perlu jaga sebaiknya agar nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama ini tidak tercemar dan tergugat.