Polis berkas banduan larikan diri dari pusat reintegrasi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Polis berjaya memberkas seorang banduan warga asing yang dipercayai melarikan diri daripada Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin, Nilai di kilometer 29 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, banduan lelaki berumur 39 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam sekitar 2 kilometer dari pusat berkenaan, kira-kira tiga jam selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Penjara mengenainya.

Beliau berkata, selepas menerima laporan pada pukul 6.55 petang, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai melancarkan Ops tutup dengan membuat rondaan bermotosikal bagi mengesan banduan itu.

Katanya, siasatan mendapati banduan itu ditempatkan di pusat berkenaan sejak 19 Jun lepas bagi proses pengusiran pada 9 September ini.

"Banduan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan pada 2017 atas kesalahan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini..

Abdul Malik berkata, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: