Dakwaan Ketua Pengarah KKPA disiasat bersifat serangan peribadi

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis mempercayai serangan peribadi menjadi punca penyebaran berita palsu berkaitan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkaply Mohamed yang didakwa sedang disiasat pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sehubungan itu, seramai 10 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

"Kenyataan palsu berkenaan menjurus kepada serangan peribadi, satu akaun media sosial palsu bernama Harapan Malaysia menyebarkan tohmahan itu pada 21 Ogos lalu.

"Kami juga kesan satu lagi hantaran di Facebook bernama Sahabat Anwar Ibrahim. Kita masih menyiasat untuk kenal pasti pemilik akaun palsu berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, pada Isnin.

Dalam kes berasingan Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menyiasat sebuah akaun Facebook Flat Earth Malaysia yang membuat perkongsian video mendakwa kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Johor disambut dengan meriah.

"Siasatan melibatkan komen pemilik akaun berkenaan yang menyentuh Institusi Diraja Negeri Johor dalam hantaran terbabit baru-baru ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.