[VIDEO] Nahas Elmina: Bakti Hafiz kepada keluarga hingga akhir hayat

A
A
A

SUNGAI PETANI - Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh terus menabur bakti kepada keluarganya walaupun telah pergi mengadap Ilahi dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lepas.

Bapanya, Muhamad Saleh Othman, 57, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu sememangnya seorang yang bertanggungjawab dan mengutamakan keluarga.

Dia berkata, arwah anaknya kini terus menunaikan tanggungjawab kepada mereka apabila dia dan isteri menerima faedah bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Arwah memang macam itu dan sebab itu sampai umur 32 tahun tidak kahwin sebab dia bertanggungjawab. Dia utamakan keluarga. Itu sifat dia.

"Apa yang dia buat adalah contoh pada adik-adik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Faedah PERKESO bagi kes 'Rider terkorban nahas pesawat terhempas di Elmina' di Taman Sidam Kiri di sini pada Isnin.

Muhamad Saleh bersama isterinya, Jamilah Ismail (dua dari kiri) dan anak mereka memegang foto kenangan bersama Allahyarham Muhamad Hafiz di Taman Sidam Kiri pada Isnin.
Muhamad Saleh bersama isterinya, Jamilah Ismail (dua dari kiri) dan anak mereka memegang foto kenangan bersama Allahyarham Muhamad Hafiz di Taman Sidam Kiri pada Isnin.

Kata Muhamad Saleh, mereka reda dengan ketentuan Ilahi meskipun hati masih agak berat untuk melepaskan pemergian Muhamad Hafiz.

"Memang terasa sangat (pemergian anak). Jarak seminggu ini kurang sikitlah tapi mungkin makan masa untuk melupakan arwah," katanya.

Menurutnya, kehilangan arwah anaknya itu digantikan dengan dua cucu yang bakal dilahirkan adik Muhamad Hafiz dan adik iparnya pada Oktober dan November nanti.

"(ALLAH SWT) ganti dua (cucu) yang akan jadi pengubat rindu kepada arwah anak," katanya.

Muhamad Saleh bercadang menggunakan wang faedah diterima untuk mengadakan majlis tahlil untuk arwah Muhamad Hafiz, selain melunaskan hutang yang tertunggak sekiranya ada.

"Terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk PERKESO yang membantu kami selepas pemergian anak," katanya.

Adik Allahyarham Muhamad Hafiz, Norhikmah, 26, memberitahu, abang sulungnya merupakan seorang yang tegas, namun amat rapat dengan ahli keluarga termasuk dirinya.

"Disebabkan itu, kami sentiasa menghormati, mendengar kata dan menjadikan abang sulung sebagai tempat rujukan untuk sebarang tujuan sekalipun," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, waris Muhamad Hafiz akan menerima bayaran pencen PERKESO sebanyak RM1,894.75 dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.

Mohammed Azman (kanan) menyerahkan kotak Prihatin PERKESO kepada Muhamad Saleh di kediamannya di Taman Sidam Kiri pada Isnin.
Mohammed Azman (kanan) menyerahkan kotak Prihatin PERKESO kepada Muhamad Saleh di kediamannya di Taman Sidam Kiri pada Isnin.

Dr Mohammed Azman memaklumkan, bayaran bermula dari tarikh kematian Muhamad Hafiz menerusi dua peruntukan akta perlindungan sosial.

Kata beliau, Muhamad Hafiz memiliki rekod caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerja ketika berkhidmat di syarikat logistik di bawah Akta 4 dengan kali terakhir Jun 2021, manakala rekod kedua melalui Akta 789 sejak 10 Mei 2021 di bawah inisiatif kerajaan.

"Mangsa meninggal dunia ketika mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri melayakkan mangsa menerima faedah RM1,116.

"Selain itu, semakan PERKESO mendapati Muhamad Hafiz turut memiliki kelayakan Pencen Penakat RM778.75 dengan rekod caruman terakhir pada Jun 2021 semasa berkhidmat di syarikat logistik," katanya.

Sebelum itu, Dr Mohammed Azman bersama Skuad PERKESO Prihatin menziarahi waris bagi menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, hanya 29.8 peratus bersamaan seramai 208,818 daripada keseluruhan 700,704 rakan penghantar makanan dan pengangkutan penumpang yang aktif mencarum menerusi Akta 789 setakat 22 Ogos lalu.

Menurut beliau, Perkeso telah meluluskan 3,112 kes tuntutan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) membabitkan nilai keseluruhan mencecah RM16.98 juta bagi tempoh antara Januari hingga Ogos 2023 berbanding 4,383 kes dengan bayaran sebanyak RM14.3 juta sepanjang tahun lalu.

"Melalui Program SPS Padanan Caruman, Kerajaan telah membiayai sebanyak 80 peratus daripada caruman SKSPS bagi Pelan Caruman 2 berjumlah RM186.20, manakala Orang Bekerja Sendiri (OBS) hanya perlu membayar baki 20 peratus atau RM46.60.

"Padanan pembiayaan ini melengkapkan bayaran Pelan Caruman 2 SKSPS yang berjumlah RM232.80 bagi memperoleh perlindungan keselamatan sosial pekerjaan sendiri selama 12 bulan,"katanya.

Pada 17 Ogos lepas, Muhamad Hafiz yang merupakan penghantar makanan antara 10 mangsa terkorban dalam nahas Elmina.

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas Elmina: Jenazah Muhammad Hafiz akan dikebumikan di Sungai Petani

Nahas Elmina: Allahyarham Muhamad Hafiz anak yang baik - Ibu