Pemergian Chok Sin kehilangan besar buat MCA, BN Selangor

Gambar kenangan Megat Zulkarnain (dua dari kiri) dan Chok Sin (dua dari kanan)
Gambar kenangan Megat Zulkarnain (dua dari kiri) dan Chok Sin (dua dari kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Berita pemergian Pengerusi MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin pada petang Ahad mengejutkan banyak pihak.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pemergian Chok Sin merupakan satu kehilangan besar buat BN Selangor dan MCA.

Menurutnya, mendiang yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor dianggap sahabat baik yang banyak membantu dalam gerak kerja parti.

"Mendiang telah banyak membantu saya terutama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor baru-baru ini.

"Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mendiang dan MCA. Semoga tabah dengan ujian ini, " katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, berita pemergian Chok Sin telah dikongsi Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi hantaran rasmi di Facebooknya.

Ka Siong memaklumkan, beliau terkejut dengan berita pemergian Chok Sin yang pernah diberi peluang untuk bertanding sebagai calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek pada 2013 dan 2018.

"Mendiang merupakan anak tempatan Sungai Pelek dan pernah memegang banyak jawatan dalam parti termasuk AJK (ahli jawatan kuasa) Pusat, Pengerusi MCA Sepang, Setiausaha MCA Selangor, Timbalan Setiausaha Agung Pemuda dan Bendahari Pemuda MCA Selangor sebelum ini.

"Saya melantik beliau sebagai Pengerusi MCA Negeri Selangor setelah saya memegang jawatan Presiden MCA pada 2018," katanya.

Ka Siong berkongsi gambar kenangan bersama mendiang Chok Sin.
Ka Siong berkongsi gambar kenangan bersama mendiang Chok Sin.

Ujarnya, Chok Sin menerima tanggungjawab tersebut dan seterusnya memainkan peranan untuk menjaga kepentingan rakyat bersama dengan barisan pimpinan MCA Selangor.

"Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada parti. Saya berharap ahli-ahli keluarga Chok Sin kekal tabah dan kuat," katanya

Difahamkan upacara penghormatan terakhir Chok Sin yang berusia 55 tahun diadakan di kediaman keluarga mendiang di Sepang pada Isnin.

Upacara tersebut diadakan mulai jam 10 pagi hingga 11 malam di Kampung Baru Sungai Pelek, Sepang.