Khairul Aming dinobat pemenang Anugerah TikTok 2023

Khairul Aming ketika berucap selepas dinobatkan pemenang Creator Of The Year di Tik Tok Award 2023. Foto: FB TV3
Khairul Aming ketika berucap selepas dinobatkan pemenang Creator Of The Year di Tik Tok Award 2023. Foto: FB TV3
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pempengaruh media sosial, Khairul Aming, 31, dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori People’s Choice: Creator Of The Year di Tik Tok Award 2023.

Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkata, kejayaan yang dikecapi bukan mudah dan memerlukan masa yang panjang untuk menghasilkan kandungan kreatif.

Menurutnya, anugerah berkenaan menunjukkan usaha kerasnya selama lapan tahun dan mengharapkan agar kenangan manis itu dapat dikongsi bersama Allahyarham bapanya.

“Kalau ayah dapat tengok saya terima anugerah ini mesti dia berbangga sebab sudah lapan tahun saya bekerja keras.

“Terima kasih kepada mak, arwah ayah dan pasukan Sambal Nyet,” katanya di acara anugerah Tik Tok Awards 2023 pada Ahad.

Pada 23 Ogos lalu, Khairul Aming telah menerima 1.3 juta undian sekali gus mendahului finalis bagi kategori People's Choice: Creator Of The Year.

Acara itu merupakan anugerah terbesar anjuran platform media sosial, TikTok untuk memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan luar biasa yang merangkumi pelbagai latar belakang dan bidang.

Mengulas lanjut, Khairul turut menitipkan kata-kata nasihat kepada pempengaruh muda untuk tidak melupakan hasrat terus belajar dan membuat kandungan media sosial yang berfaedah.

Jelasnya, pencipta kandungan memerlukan individu berpengetahuan dalam pelbagai bidang sekali gus menjadikan platfom media sosial sebagai tempat perkongsian ilmu.

“Kepada anak-anak muda di luar sana yang ingin menjadi ‘content creator’ (pembuat kandungan) teruskan pembelajaran kerana membuat kandungan media sosial bukan sekadar untuk viral.

“Untuk menjadi relevan dalam industri awak memerlukan banyak pengetahuan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan adab,” katanya.


Antara pemenang di Anugerah Tik Tok 2023:

Creator of the Year: Khairul Aming

Popular Creator of the Year: Ryan Bakery

Popular Rising Star of the Year: Ikhmal Nour

Popular Animation Account of the Year: Upin & Ipin

Popular Celebrity Creator of the Year: Aeril Zafrel

Popular Live Creator of the Year: Tiger Labu

Popular TikTok Shop Creator of the Year: Anas Zahrin

Best of Fashion & Beauty: Shahira Azlan

Best of Entertainment: Eiqa Malek

Best of Gaming: Sultan Riq

Best of Sports: Khalish Fitness

Best of Education: Sir Asai

Best of Foodie: Syifa Jamil

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!