Norza dipilih Tokoh Kepimpinan Sukan Anugerah SAM-100PLUS 2022

Norza - Foto Bernama
Norza - Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan sempena majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022 yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.

Naib Presiden SAM, Hazreen Mubarak berkata, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menunjukkan ketegasan yang jelas terhadap isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan badan sukan kebangsaan.

"Bakat kepimpinan dimiliki beliau tidak dapat disangkal lagi. Kami berharap dengan anugerah ini, akan memberikan motivasi kepada Tan Sri Mohamad Norza untuk terus berusaha memartabatkan badan sukan di negara ini," katanya dalam kenyataan SAM pada Ahad.

Mohamad Norza menggalas jawatan Presiden BAM bermula 2017 menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berundur atas faktor kesihatan.

Sepanjang memimpin badan induk itu, Malaysia meraih pelbagai kejayaan bermakna di pentas antarabangsa antaranya pencapaian bersejarah beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi wakil negara pertama menjuarai Kejohanan Dunia pada tahun lepas.

Pada masa sama, inisiatif beliau memperkenalkan indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta penilaian berdasarkan merit ke atas pemain senior menyaksikan kemunculan bakat muda seperti pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Aaron-Wooi Yik dan pasangan beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah.

Ketika menerajui MOM pula, Mohamad Norza memperkenalkan pelbagai inisiatif antaranya kriteria pemilihan yang telus untuk atlet ke temasya sukan dan penjanaan semula Suruhanjaya Atlet (AC) MOM termasuk pemberian geran dan penyertaan wakil AC dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM.

Kepimpinan Mohamad Norza tidak terhad di peringkat kebangsaan apabila turut diangkat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan Untuk Semua Majlis Olimpik Asia (OCA) selain dipilih sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BAC).

Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang dan mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun lepas, turut akan dirai pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2022 ialah wartawan sukan, yang berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori Kewartawanan Sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi. - Bernama