Pulau Redang jadi destinasi pelancongan sukan antarabangsa

Fadli Yusof (kiri) bersama tiga peserta dari Malaysia yang memenangi kategori Master 40-49 sempena kejohanan renang di perairan laut terbuka atau Oceanman @ Redang 2023 yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu.
Fadli Yusof (kiri) bersama tiga peserta dari Malaysia yang memenangi kategori Master 40-49 sempena kejohanan renang di perairan laut terbuka atau Oceanman @ Redang 2023 yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu.
A
A
A

KUALA NERUS - Pulau Redang akan dikenali sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa selepas kejohanan renang di perairan laut terbuka atau Oceanman @ Redang 2023 disenaraikan dalam kalendar pelancongan tahunan di Terengganu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, ia adalah peluang bagi memartabatkan industri pelancongan di negeri itu dengan memanfaatkan keindahan Pulau Redang yang terkenal dengan kejernihan air dan keindahan alam semula jadi.

Menurutnya, penganjuran Oceanman @ Redang 2023 memberi impak positif kepada semua pengusaha resort dan penduduk sekitar termasuk pemandu bot serta pemandu pelancong.

"Program ini julung kali diadakan di Pulau Redang selama dua hari bermula semalam (Jumaat) dan kita telah berjaya menarik penyertaan seramai 566 peserta dari 31 negara.

"Kita akan bincang dengan pihak penganjur untuk meneruskan program ini sebagai aktiviti pelancongan tahunan di Terengganu dan akan berusaha untuk menarik lebih ramai peserta dari negara luar pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas acara pelepasan peserta di Pulau Redang pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Oceanman Malaysia, Sundi Kumar berkata, Pulau Redang dipilih sebagai lokasi pertandingan selepas proses penilaian dilakukan meliputi pelbagai aspek.

"Sasaran awal kita 500 peserta dan kita berjaya melepasi sasaran itu malah lebih 60 penyertaan adalah dari negara luar kerana mereka teruja ingin merasai sendiri pengalaman berenang di perairan Pulau Redang.

"Selain itu, terdapat banyak resort untuk penginapan serta kemudahan lain seperti pengangkutan juga penting bagi memudahkan peserta dari seluruh dunia datang ke sini," katanya.

Oceanman merupaka kejohanan renang bertaraf antarabangsa yang menguji kekuatan peserta untuk menjadi juara di perairan laut terbuka dan telah dianjurkan di banyak lokasi di seluruh dunia sebelum ini.

Kali terakhir penganjuran Oceanman berlangsung di Malaysia ialah di Pulau Langkawi, Kedah pada tahun 2018.

Seramai 368 peserta dari Malaysia menyertai kejohanan itu di samping 21 peserta dari Australia, Singapura (19), Indonesia (14), Vietnam (10) serta Taiwan, Perancis, Itali, Jepun, Rusia, Mexico, Jerman dan Mesir.