Ketua Adat Sabah terima berita gembira naik elaun

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 3,963 pemimpin masyarakat (Ketua Adat) di negeri ini akan menikmati kenaikan purata sebanyak 48 peratus elaun bulanan bermula bulan hadapan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan berita gembira itu berkata, antara justifikasi kenaikan elaun itu adalah sebagai pengiktirafan kedudukan terhormat ketua adat masyarakat di negeri ini.

Katanya lagi, ini termasuk peranan mereka sebagai hakim di Mahkamah Anak Negeri dan menampung perbelanjaan ketika menghadiri mesyuarat, kursus dan majlis rasmi diluar daerah.

"Kerajaan negeri mengiktiraf peranan penting Ketua Adat sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dan kenaikan itu bertujuan meningkatkan motivasi ketua adat untuk memberikan perkhidmatan yang penuh integriti kepada masyarakat.

"Tambahan pula, ia telah lama tertunggak dengan semakan yang terakhir dilakukan pada tahun 2013. Elaun mereka kekal tidak berubah manakala kos sara hidup meningkat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, langkah itu memberi manfaat kepada 57 Ketua Daerah, 272 Ketua Anak Negeri, 648 Wakil Ketua Anak Negeri, 2,810 Ketua Kampung dan juga 176 Kapitan di seluruh Sabah.

"Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memenuhi keperluan semua pihak dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya," katanya.

Ketua Daerah yang sebelum ini menerima sebanyak RM2,700 akan dinaikkan kepada RM3,500 (29.6 peratus kenaikan), Ketua Anak Negeri daripada RM1,700 kepada RM2,500 (47.1 peratus peningkatan), Wakil Ketua Anak Negeri daripada RM900 kepada RM1,300 (44.4 peratus kenaikan) Ketua Kampung dan Kapitan daripada RM700 kepada kepada RM1,200 (71.4 peratus kenaikan).