Mohamad Radhi tekad perhebatkan sepak takraw Kedah

Mohamad Radhi
Mohamad Radhi
A
A
A

ALOR SETAR - Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Kedah, Mohamad Radhi Mat Din berhasrat untuk memperhebatkan semula sukan sepak takraw di Kedah.

Menurutnya, sebelum ini Kedah mempunyai jaguh-jaguh sepak takraw yang hebat seperti Allahyarham Adnan Saidin dan ramai lagi.

"Tetapi hari ini Kedah sudah tidak ada dalam carta sukan sepak takraw di Malaysia. Jadi saya rasa apabila saya diberi jawatan ini, saya perlu bangunkan semula sepak takraw Kedah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Tambahnya, beliau telah berjumpa dengan presiden persatuan terbabit untuk menyuarakan hasratnya dan mendapat respons positif.

"Saya telah berjumpa dengan Presidennya, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan dia pun kata ini masa terbaik, Insya-ALLAH kita cuba setakat mana yang boleh.

"Sebab kita tengok sekarang dalam liga pun Kedah tak ada, kita nak mencari punca apa sebabnya, dan kita akan usaha untuk kembalikan team takraw Kedah ini sebagai salah satu team yang disegani," ujarnya.

Sebagai Exco yang turut menjaga portfolio belia, Mohamad Radhi turut memberi penekanan kepada kecenderungan belia seperti sukan permotoran.

"Kita akan susun bagi jalan yang betul, bukan biar mereka 'race' malam-malam, Insya-ALLAH trek pun dalam proses.

"Ini sebagai galakan kepada mereka kerana walaupun nampak bahaya tetapi ikut kaedah yang betul dan dibenarkan oleh kerajaan," katanya.