Kim Swee tegur sikap sambil lewa pemain Sabah di Likas

Pemain Sabah, Darren Lok (kiri) berusaha melepasi kawalan pemain Negeri Sembilan, Zainal Abidin Jamil dalam saingan Liga Super di Stadium Likas pada Sabtu.- Foto Bernama
Pemain Sabah, Darren Lok (kiri) berusaha melepasi kawalan pemain Negeri Sembilan, Zainal Abidin Jamil dalam saingan Liga Super di Stadium Likas pada Sabtu.- Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui kecewa dengan corak permainan dipamerkan The Rhinos walaupun berjaya mengatasi Negeri Sembilan FC, 3-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, pada Sabtu.

Malah tanpa berselindung bekas pengarah teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu terkilan sikap sambil lewa dipamerkan anak-anak buahnya terutama pada separuh masa kedua ketika selesa mendahului skuad Rusa kendalian K Devan itu.

“Kita tidak bermain dengan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan malam ini. Sekiranya kita bermain dengan semangat juang tinggi sudah pasti pintu gol kita tidak akan dibolosi oleh pasukan lawan.

“Jika kita masih bermain dengan cara seperti separuh masa kedua pada peringkat tertinggi seperti Piala AFC dan saingan Piala Malaysia selepas ini, kita akan dihukum,” katanya selepas perlawanan pada Sabtu.

Dalam perlawanan itu, Sabah memimpin separuh masa pertama menerusi jaringan Roman Machado pada minit ke-13 dan 29 diikuti gol daripada Miguel Cifuentes (m-46).

Negeri Sembilan yang kembali memberikan saingan separuh masa kedua akhirnya berjaya merapatkan kedudukan menerusi sentuhan Hein Htet Aung pada minit ke-90.

Tegas Kim Swee lagi, pemain Sabah tidak boleh lagi berpuas hati dan mengambil sikap sambil lewa ketika pasukan selesa mendahului permainan.

“Kita akan menggunakan tempoh dua minggu ini memperbaiki segala kelemahan pasukan seperti yang berlaku dalam perlawanan malam ini.

“Para pemain mungkin diberikan cuti selama dua atau tiga hari selepas ini sebelum kembali semula menjalani latihan dengan lebih fokus,” katanya.