DBKL tunda 24 kereta, 15 motosikal halang lalu lintas

Antara kenderaan yang ditunda kerana menghalang lalu lintas.
Antara kenderaan yang ditunda kerana menghalang lalu lintas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 24 kereta ditunda manakala 15 motosikal diangkut selepas kenderaan terbabit menghalang lalu lintas selain diletakkan di laluan awam serta di kawasan tidak dibenarkan.

Penguatkuasaan tersebut dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi tindakan khas terhadap kesalahan lalu lintas yang dijalankan di Jalan Ampang dan Jalan Bukit Bintang.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata, sebanyak 67 notis kompaun turut dikeluarkan dalam operasi terbabit mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, operasi dijalankan berikutan DBKL menerima aduan awam terdapat kenderaan diletakkan di kawasan yang menghalang kelancaran lalu lintas selain menggunakan laluan pejalan kaki serta laluan orang kelainan upaya (OKU).

"Kenderaan terbabit dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang sebagai tempat penyimpanan sementara untuk proses dokumentasi serta tuntutan," katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi kenyataan sama, DBKL mengingatkan pengguna jalan raya dan pemilik premis untuk mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan.

Ujarnya, pengguna perlu memastikan kenderaan (motosikal/kereta) diletakkan di tempat sepatutnya tanpa menghalang dan menggangu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas.