'Giant Doodle' sampaikan mesej putuskan rantaian rasuah

Lima pelukis Animas terlibat menghasilkan 'Giant Doodle' sempena Program Doodle Something Nice X Rasuah Busters pada Sabtu.
Lima pelukis Animas terlibat menghasilkan 'Giant Doodle' sempena Program Doodle Something Nice X Rasuah Busters pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lima pelukis tersohor Persatuan Animasi Malaysia (Animas) menghasilkan 'Giant Doodle' sempena Program Doodle Something Nice X Rasuah Busters bagi menyampaikan mesej mengajak masyarakat memutuskan rantaian rasuah di negara ini.

Presiden Animas, Amir Hamzah Hashim atau lebih dikenali sebagai Ibnukaduk Amier berkata, lima 'doodle artist' berkenaan ialah Shazni Hanis Zarzaie atau terkenal dengan nama samaran Shazni Nerdless, Roseman @ Md Rosman, Muhammad Firdaus Husain (Tuyuk), Abdul Aziz Sumairi (Cip Comicore) dan Ahmad Hafizuddin Mohd Salleh (Apix Iskandar).

"Menerusi program ini kita gunakan doodle untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat dan mengingatkan diri kami juga tentang rasuah yang perlu ditamatkan rantaian seperti kita tamatkan rantaian Covid-19.

"Kita bawakan mesej Rasuah Busters dalam bentuk seni visual untuk tatapan masyarakat kerana rasuah memberi kesan dalam bidang apa pun," katanya ketika ditemui dalam program berkenaan yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.

Pelukis tekun menyiapkan 'Giant Doodle' di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Pelukis tekun menyiapkan 'Giant Doodle' di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.

Dalam pada itu, Amir Hamzah turut mengajak semua penggiat seni termasuk pencipta lagu, penulis skrip dan penerbit filem untuk bersama-sama mempertingkatkan atau memulakan perjuangan menentang rasuah dalam karya mereka.

"Secara asasnya perjuangan (memerangi rasuah) ini satu perjuangan yang panjang dan kita tak akan dapat lihat hasilnya dalam sekelip mata tapi kita harus mulakan langkah untuk generasi akan datang.

"Bagi pembikin animasi seperti kami, kemahiran dan kepakaran digunakan untuk menghasilkan seni visual kepada masyarakat. Konsepnya di sini dengan satu gambaran, kami berjaya menyampaikan jutaan maksud dengan lebih mudah tak perlu cakap," tambahnya.

Menurutnya, yang turut terlibat dalam pembikinan siri animasi Usop Sontorian dan Keluang Man, siri animasi ciptaan pengkarya tempatan telah lama menerapkan mesej antirasuah dan integriti.

"Dengan santainya kami telah menyampaikan mesej ini. Sejak tahun 1997 kita dah masukkan unsur antirasuah ini secara santai dalam waktak-watak utama animasi.

"Watak asal Keluang Man itu sendiri pun menentang rasuah dan dalam episod pertama animasi itu kita dah terapkan bahawa kebejatan rasuah ini menggugat kejayaan negara," ujarnya.