KDA FC pasukan pertama kekang JDT kutip tiga mata

Manuel Ott berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Syihan pada minit ke-49 untuk bantu KDA FC ikat pelawat 3-3 pada saingan Liga Super 2023 pada malam Sabtu.
Manuel Ott berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Syihan pada minit ke-49 untuk bantu KDA FC ikat pelawat 3-3 pada saingan Liga Super 2023 pada malam Sabtu.
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC muncul pasukan pertama berjaya mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Super 2023, 3-3 pada aksi ke-21 di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.

JDT yang turun dengan rekod kemenangan 20 perlawanan berturut-turut musim ini diberikan asakan awal oleh tuan rumah namun Bergson berjaya memberikan tekanan melalui percubaan seawal minit ke-5.

Ifedayo Omosuyi walau bagaimanapun menggamatkan stadium apabila berjaya meletakkan KDA FC di hadapan 1-0 pada minit ke-37 selepas menanduk masuk hantaran Hidalgo melalui sepakan sudut.

Gol yang diperoleh tuan rumah menyaksikan pemain JDT kembali menyusun permainan mereka untuk memburu gol penyamaan.

Harimau Selatan hampir melakukannya menerusi Bergson namun percubaan terbaik itu berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-47 perlawanan.

Ketua pasukan KDA FC, Manuel Ott terus menambah tekanan ke atas JDT apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-49 untuk kedudukan 2-0.

Walau bagaimanapun, JDT tidak menunggu masa lama untuk merapatkan kedudukan 2-1 apabila pertahanannya, Corbin Ong menanduk masuk gol pada minit ke-52 untuk kembali menyemarakkan semangat pasukan pelawat.

Gol berkenaan memberikan motivasi kepada pendahulu Liga Super itu apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Heberty Fernandes apabila menjaringkan gol selepas menerima hantaran daripada Bergson pada minit ke-55.

Pada minit ke-66, percubaan Ifedayo pula sekadar singgah di tiang gol pelawat walaupun Syihan gagal untuk menepis keluar bola tersebut.

JDT akhirnya berada di hadapan 3-2 selepas hasil kerja keras Arif Aiman yang berjaya melepasi beberapa pertahanan KDA FC sebelum merembat bola bagi menewaskan Ifwat Akmal buat kali ketiga pada minit ke-74.

Pemain gantian KDA FC, Amirbek Juroboev memberikan kegembiraan kepada penyokong tuan rumah apabila kembali mengikat kedudukan 3-3 pada mint ke-92 selepas menjaringkan gol dan keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.