PRK: Jangan terperangkap mainan isu 3R - Mat Sabu

Mohamad Sabu (tengah) memperkenalkan calon Parlimen Pulai pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Perling, Johor Bahru, pada malam Sabtu.
Mohamad Sabu (tengah) memperkenalkan calon Parlimen Pulai pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Perling, Johor Bahru, pada malam Sabtu.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Pengundi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diingatkan supaya tidak terperangkap dengan isu raja, agama dan kaum (3R) yang dimainkan pembangkang.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak berkenaan menanamkan ketakutan bahawa Melayu dan Islam kini sedang terancam.

"Jadi ini (sentimen Malayu dan Islam) menjadi subur terutama apabila isu 3R ini dimainkan. Ini boleh memerangkap Melayu dan Islam bahawa dikatakan (Melayu dan Islam) terancam.

"Ini slogan yang memerangkap. Strategi politik seperti Melayu dan Islam terancam, DAP komunis hanya terpakai di Kelantan, Terengganu Kedah dan Perlis," katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P.161 Pulai di Taman Perling di sini pada malam Sabtu.

Turut hadir Pengerusi DAP Johor, Liew Cin Tong; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sentimen dimainkan pembangkang itu sama seperti yang berlaku pada 1969 sehingga mencetuskan satu tragedi di negara ini.

Beliau juga membidas pihak yang mendakwa tidak menyokong parti Islam sebagai anti Islam seperti yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Kelantan apabila dua kerusi dimenangi parti pembangkang di negeri itu.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, gelombang hijau tidak akan 'melintas' ke sempadan negeri ini dan rakyat Johor tidak akan terpengaruh dengannya.

Mengenai kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN dalam Kerajaan Perpaduan, beliau menjelaskan, perkara itu bukan pelik kerana turut berlaku di Indonesia apabila parti politik di negara jiran itu tidak memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

Katanya, apa yang berlaku di Malaysia adalah satu langkah berani dalam usaha mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi.