Penduduk dakwa jumpa buaya tersesat dalam parit

Buaya yang didakwa ditemui dalam sebuah parit di Kampung Parit Serong, Tanjong Karang pada Sabtu.
Buaya yang didakwa ditemui dalam sebuah parit di Kampung Parit Serong, Tanjong Karang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk di Kampung Parit Serong, Tanjong Karang dekat sini gempar dengan kewujudan seekor buaya yang dikatakan tersesat dalam sebuah parit di kampung itu pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya ke lokasi kira-kira jam 3 petang selepas menerima satu video tular mengenai penemuan reptilia berkenaan.

Menurut beliau, penduduk memaklumkan mereka cuba menangkap buaya terbabit namun gagal sebelum hilang ke dasar parit pada pagi hari yang sama.

"Bagaimanapun, hasil pemantauan dan siasatan Perhilitan tidak melihat kelibat reptilia tersebut," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Choon Yung memberitahu, pemantauan lanjut akan dilakukan pihaknya bagi mengesan buaya berkenaan.

"Orang awam diminta supaya segera menghubungi Perhilitan jika ternampak buaya berkenaan bagi tindakan lanjut," ujarnya.

Sebelum itu, tular satu video di Facebook mengenai penemuan anak buaya di parit berkenaan.