Junta tentera Niger usir Duta Perancis

Tunjuk perasaan besar-besaran anti-Perancis diadakan di Niamey baru-baru ini. - Foto AFP
Tunjuk perasaan besar-besaran anti-Perancis diadakan di Niamey baru-baru ini. - Foto AFP
A
A
A

NIAMEY - Junta tentera yang merampas kuasa pada 26 Julai lalu mengarahkan Duta Perancis, Sylvain Itte meninggalkan Niger dalam tempoh 48 jam selepas hubungan antara negara Afrika barat itu dan bekas pemerintah kolonialnya semakin merosot.

Kementerian Luar dilantik junta memaklumkan bahawa keputusan untuk memecat duta itu adalah tindak balas terhadap tindakan kerajaan Perancis yang bertentangan dengan kepentingan Niger.

Ia berkata, ini termasuk keengganan Itte menjawab jemputan untuk bertemu Menteri Luar Niger yang baharu.

Perancis sebelum ini menggesa Mohamed Bazoum dikembalikan jawatan presiden dan berkata ia akan menyokong usaha blok Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) untuk membatalkan rampasan kuasa.

Kemerosotan dalam hubungan Niger-Perancis tercetus selepas pasca rampasan kuasa di Mali dan Burkina Faso yang menyaksikan kedua-dua negara itu memutuskan hubungan yang telah lama terjalin dengan Paris.

Niger mempunyai kepentingan strategik sebagai salah satu pengeluar uranium terbesar di dunia dan sebagai pangkalan tentera Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan tentera asing lain yang membantu memerangi kumpulan militan di rantau berkenaan. - Agensi