Harimau Muda buat perhitungan dengan Vietnam

Skuad negara berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Timor Leste. - Foto FAM
Skuad negara berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Timor Leste. - Foto FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 23 tahun negara (B-23) menewaskan Timor-Leste 3-1 untuk melangkah ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong, Thailand pada Selasa.

Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Muda akan bertemu Vietnam yang menjuarai Kumpulan C dalam aksi separuh akhir dijadualkan berlangsung pada Khamis.

Pengendali B-23, E Elavarasan melakukan enam pertukaran selain peledak dua gol negara, Fergus Tierney ketika kemenangan ke atas Indonesia tidak diturunkan dalam kesebelasan utama.

Harimau Muda bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi rembatan dari luar kotak penalti Alif Ikmalrizal Anuar menewaskan penjaga gol Timor-Leste, Georgino Da Silva.

Selang sembilan minit kemudian, Alif Izwan Yuslan mencetak nama selaku penjaring apabila mendada hantaran Alif Ikmalrizal sebelum tenang melepaskan rembatan rendah untuk sekali lagi menewaskan Da Silva.

Penjaga gol Timor-Leste itu terus sibuk di gawang golnya apabila diuji dengan percubaan Alif Izwan yang berjaya ditampan pada minit ke-29 manakala cubaan Alif Ikmalrizal terkena tiang gol pada minit ke-33.

Lima minit terakhir separuh masa pertama, Harimau muda tiba-tiba bagaikan hilang arah dan lebih banyak membiarkan pemain Timor-Leste bermaharajalela di kawasan Malaysia.

Olagar Xavier mengambil kesempatan menghukum benteng pasukan negara dan merapatkan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-41.

Artikel Berkaitan:

Minit ke-51 Timor-Leste hampir mendapatkan gol penyamaan namun percubaannya berjaya ditampan penjaga gol negara, Azim Al Almin.

Alif Ikmalrizal mematikan langkah kebangkitan yang cuba dicpta oleh Timor-Leste apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-64.