MFL bantu lunas tunggakan gaji Sarawak, Melaka United

STUART
STUART
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan membantu membayar gaji pemain dan pegawai Sarawak United FC serta Melaka United FC yang tertunggak tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, dana tersebut diperoleh melalui sebahagian amaun hak penyiaran kelab tersebut dan akan terus disalurkan kepada pemain dan pegawai.

“Baru-baru ini, Lembaga Pengarah (MFL) meluluskan keputusan terbabit dan dana berkenaan akan diagihkan kepada pemain dan pegawai yang terjejas, namun bukannya kepada kelab.

“PFAM (Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia) sudah mengemukakan senarai pemain. Pada masa sama, kami mempunyai senarai jurulatih dan pada minggu ini dana itu akan diagihkan kepada mereka,” katanya.

Namun, Stuart tidak mendedahkan amaun tersebut, sebaliknya beliau memberitahu, dana itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung pemain dan pegawai terlibat.

“Dana terbabit adalah wang geran yang ditahan MFL dalam tempoh ditetapkan. Jika ditanya sama ada dapat menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji, sudah pastinya tidak boleh, harap isu ini dapat diselesaikan segera,” ujarnya.

Sebelum ini, Sarawak United dan Melaka United dilaporkan belum melunaskan gaji tertunggak tahun lalu kepada pegawai dan pemain masing-masing.

Situasi yang berlaku itu mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, MFL memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 tahun lalu untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai pasukan itu yang berdepan masalah tunggakan gaji.