Kian Meng-Pei Jing mudah mara ke pusingan kedua di Copenhagen

Kian Meng (kanan) dan Pei Jing akan menentang pasangan Thailand pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen. - Foto Badminton Photo
Kian Meng (kanan) dan Pei Jing akan menentang pasangan Thailand pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen. - Foto Badminton Photo
A
A
A

BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menepati ramalan apabila mudah mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada Selasa.

Pasangan negara yang menghuni ranking ke-21 dunia itu hanya memerlukan 21 minit untuk menewaskan Hussein Zayan Shaheed-Fathimath Nabaaha Abdul Razzaq dari Maldives 21-4, 21-6 dalam aksi yang berlangsung di Royal Arena.

Aksi tersebut merupakan perlawanan pertama Kian Meng-Pei Jing dengan beregu di ranking ke-84 dunia itu.

Pada pusingan kedua, Kian Meng-Pei Jing akan membuat perhitungan dengan pilihan ke-12 kejohanan dari Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.

Pasangan dari negara jiran itu melangkah ke pusingan kedua selepas menerima 'bye' pada pusingan pertama.

Sebagai rekod, pertemuan Kian Meng-Pei Jing dengan beregu Thailand itu merupakan yang keenam dengan catatan kemenangan memihak kepada Supak-Supissara 3-2.

Kali terakhir Supak-Supissara meraih kemenangan ke atas Kian Meng-Pei Jing adalah pada pusingan pertama Masters Malaysia 2023.

Artikel Berkaitan: