Soal beban tugas guru komitmen berterusan KPM - Fadlina

Fadlina hadir merasmikan Program Mangrove-ing Our Land di Langkawi UNESCO Global Geopark Discovery Center, Kilim Karst Geoforest Park, Langkawi pada Isnin.
Fadlina hadir merasmikan Program Mangrove-ing Our Land di Langkawi UNESCO Global Geopark Discovery Center, Kilim Karst Geoforest Park, Langkawi pada Isnin.
A
A
A

LANGKAWI - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan perhatian berterusan kepada isu beban tugas guru dan langkah sederhana serta panjang bakal diumumkan bagi membantu tugas barisan pendidik di negara ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebelum ini, kementerian tersebut telah mengumumkan tujuh langkah segera untuk mengurangkan beban guru yang diikuti dengan garis panduan lebih spesifik bagi menangani isu berkenaan.

“Saya nak tegaskan, soal beban tugas guru ini adalah komitmen kita secara berterusan. Maknanya sekarang kita dah umumkan tujuh langkah bagi mengurangkan beban tugas guru, nanti akan ada (pengumuman) langkah sederhana dan jangka panjang.

“Kita akan lihat dari masa ke semasa, sebab beban ini ada isu jangka pendek, jangka panjang. Tapi dalam payung keseluruhan di bawah kesejahteraan guru, panjang lagi langkah-langkah yang akan kita ambil selepas ini,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas mengulas laporan media cadangan skop kerja guru diwartakan secara hitam putih mengikut gred supaya agar tidak lagi dibebankan dengan bebanan tugas yang di luar skop mengajar.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Mangrove-ing Our Land di Langkawi UNESCO Global Geopark Discovery Center, Kilim Karst Geoforest Park, dekat sini.

Program tersebut telah dianjurkan oleh Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) bersempena dengan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa UNESCO 2023 dengan tema 'Protecting nature, Better future'.

Turut hadir, pegawai-pegawai kanan KPM, Pengurusan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), guru serta pelajar sekolah dari sekitar Langkawi dan pihak berkepentingan berkaitan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Fadlina berkata, Program Mangrove-ing Our Land bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang peranan hutan paya laut sebagai salah satu tunjang kelestarian ekosistem alam sekitar.

"Alhamdulillah hari ini juga, saya setuju memberi satu lagi laluan kepada anak murid, '1 Pelajar, 1 Pokok' (inisiatif menanam pokok bakau), kita galakkan lebih ramai pelajar datang dan menjadi duta Geopark Park ini.

"Insya-Allah kita akan pastikan program seperti ini dilaksanakan, saya ingat di Langkawi ini ialah tempat terbaik untuk anak-anak kita menjadi Duta Geopark khususnya bercakap tentang kelestarian alam sekitar," ujar beliau.