Maqis rampas serbuk keju dari Denmark

Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan terhadap barang dagangan yang dibawa masuk melalui pintu Dermaga Air Dalam, Butterworth.
Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan terhadap barang dagangan yang dibawa masuk melalui pintu Dermaga Air Dalam, Butterworth.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk serbuk keju dari Denmark yang tidak mempunyai permit import yang sah.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, barang dagangan itu ditahan pada Sabtu lalu selepas ia dibawa masuk melalui pintu Dermaga Air Dalam (DAD) Pulau Pinang di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Maqis mendapati konsainan serbuk keju seberat 4,800 kilogram (kg) bernilai RM140,033.17 itu tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.

"Kegagalan untuk mengemukakan permit import bagi pengimportan serbuk keju adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Muhammad Ikram berkata, pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di semua pintu masuk negara bersama agensi penguatkuasaan di sempadan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan komoditi keselamatan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan.

Artikel Berkaitan: