PRN: Bekas calon bebas DUN Jeram Padang hasrat tanding lagi

Suresh
Suresh
A
A
A

JEMPOL - Bekas calon Dewan Undangan Negeri ( DUN) Jeram Padang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu, Datuk Seri S Surash yakin akan memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya diberi peluang bertanding oleh kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Surash yang juga seorang ahli perniagaan berkata, ketika bertanding sebagai calon bebas dalam PRU itu, beliau berjaya meraih undi kedua tertinggi selepas calon Barisan Nasional ( BN) Datuk L Manickam yang mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua apabila memperoleh 3,702 undi.

Katanya, memperolehi 2,640 undi dan sebagai calon bebas undi yang diterimanya adalah luar biasa berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 2,302 manakala calon daripada Pas mendapat 785 undi.

"Berdasarkan statistik, sebagai calon bebas, saya menang di tujuh daripada 10 Pusat Daerah Mengundi ( PDM) DUN Jeram Padang yang terletak dalam Parlimen Jempol.

"Saya menggunakan lambang pokok ketika itu namun pengundi di DUN Jeram Padang tetap memberi undi kepada saya dan saya antara calon bebas yang tidak hilang deposit dalam PRU berkenaan," katanya pada Ahad.

Jelasnya, selepas kalah, beliau tidak menunggu lama apabila terus turun padang menemui penduduk di sana termasuk membantu penduduk di DUN berkenaan tanpa mengira kaum dan fahaman politik apatah lagi ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini bermaksud saya sudah melakukan kerja lebih awal bukan dua atau tiga bulan menjelang pilihan raya, maka berdasarkan semua itu, saya yakin dapat memberi kemenangan buat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Surash yang juga Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Sembilan dan pemilik kelab bola sepak N Nine FC mendakwa, sokongan pengundi kepada PN di DUN itu turut memihak kepadanya berikutan merupakan anak kelahiran Ladang Bahau.

Ditanya sekiranya ditawarkan kerusi di DUN lain, Surash bagaimanapun lebih selesa bertanding di kawasan kelahirannya sendiri berbanding di kawasan lain.

Katanya, sudah tentu sebagai anak jati Bahau yang lahir dalam suasana ladang, beliau memahami kehendak masyarakat setempat dan mahu memberi khidmatnya kepada penduduk di kawasan sendiri.

"Menjadi hasrat untuk saya berkhidmat kepada penduduk di kawasan sendiri, itu lebih menggembirakan.

"Mungkin ada yang mempertikaikan mengapa tiada gambar dimuat ke mana-mana media sosial milik saya bagi membuktikan saya sudah membuat kerja, namun itu bukan prinsip saya untuk bermegah memberi bantuan sebaliknya hanya penduduk di DUN Jeram Padang yang mengetahui apa yang sudah saya lakukan," katanya.