Sambutan Bulan Kebangsaan semarak aspirasi Malaysia Madani

Burhanuddin merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan di Datum Jelatek, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Burhanuddin merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan di Datum Jelatek, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggariskan tiga objektif program Sambutan Bulan Kebangsaan antaranya menyemarakkan aspirasi Malaysia Madani melalui nilai hormat dan toleransi sesama rakyat serta bersatu padu dalam memerangi gejala rasuah.

Menurut Presidennya, Badlishah Sham Baharin antara objektif lain adalah memupuk semangat muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia dalam membawa agenda perpaduan nasional.

Badlishah Sham
Badlishah Sham

“Seterusnya, pihak kami juga berharap agar Sambutan Bulan Kebangsaan ini dapat menyatupadukan pelbagai pihak dalam menyemarakkan semangat cintakan negara, di samping memupuk nilai murni dan meraikan kepelbagaian dalam masyarakat.

“Menerusi sambutan ini, kita turut mengadakan pelbagai program antaranya menyebarkan video pendek berkenaan perpaduan Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambah Badlishah, pihaknya akan turut mempergiatkan promosi lagi ‘Selamanya Malaysia’ dan juga mengadakan forum bicara bina negara.

Katanya lagi, sudah menjadi tanggungjawab Ikram untuk memupuk semangat kesetiaan dan cintakan negara walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Selangor, Burhanuddin Daud berkata, Kerajaan Perpaduan perlu menunjukkan sifat patriotik melalui tindakan dalam memajukan negara secara holistik.

Artikel Berkaitan:

Beritahu beliau, tindakan perlu merangkumi aspek pembangunan insan, sosial dan ekonomi serta menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti.

“Menerusi sifat patriotik, kita secara tidak langsung dapat mengekalkan perpaduan. Hal ini kerana, perkara itu (perpaduan) bukanlah satu benda baharu sebaliknya dari zaman Nabi Muhammad SAW lagi sudah menunjukkan usaha kebersamaan itu.

“Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi mewujudkan sebuah negara dengan masyarakat yang mempunyai semangat kemerdekaan tinggi,” katanya.

Nurhayati Nordin
Nurhayati Nordin

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, beliau berbesar hati kerana dapat bekerjasama bersama Ikram dalam meraikan sambutan bulan kebangsaan 2023.

Beritahu Nurhayati, program sambutan itu merupakan satu bentuk ekspresi semangat rakyat Malaysia dalam menentang gejala yang boleh memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa daripada menikmati perpaduan.

“Sebenarnya penglibatan Rasuah Buster adalah sebagai tanda bahawa kita menyokong program-program patriotisme kerana ia memiliki nilai moral karakter bangsa selari dengan matlamat yang diperjuangkan.

“Kita mahu nilai patriotisme ini disemai dalam kalangan generasi muda khususnya anak-anak supaya budaya jujur, berintegriti bermula daripada awal lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Nurhayati menegaskan bahawa sempena kemerdekaan kali ke-66 tahun, rakyat Malaysia seharusnya memerdekakan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berintegriti.

Menurutnya, jika masyarakat membiarkan penjajahan minda berlaku ia secara tidak langsung akan mendorong kewujudan masyarakat yang terbiasa dengan budaya rasuah dan pilih kasih sehingga menggugat keharmonian negara.