PPZ-MAIWP lancar Kempen Mesra Niaga bantu usahawan mikro

Abdul Hakim (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Perasmian Kempen Mesra Niaga PPZ-MAIWP di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa di Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin.
Abdul Hakim (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Perasmian Kempen Mesra Niaga PPZ-MAIWP di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa di Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Mesra Niaga PPZ-MAIWP di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa, di sini pada Isnin.

Mengangkat nama kempen sebagai Mesra Niaga, PPZ-MAIWP mengambil inisiatif tersebut untuk mendekati usahawan mikro dengan menawarkan pelbagai kelebihan bagi membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya berharap tawaran dan kelebihan melalui kempen berkenaan dapat memberi manfaat kepada pembayar zakat mengembangkan lagi perniagaan di samping memperoleh keberkatan di atas zakat yang dilaksanakan.

"Ini juga antara usaha kami untuk menyebarluaskan dakwah zakat dan juga sebagai galakan kepada peniaga-peniaga kecil mungkin belum layak membayar zakat mula menunaikannya di samping dapat menikmati kelebihan disediakan melalui kempen ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Kempen Mesra Niaga PPZ-MAIWP di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa di Cheras di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan BIMB, Mohd Nazri Chik; Ketua Pegawai Komunikasi & Hal Ehwal Korporat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Roshaimi Mat Rosely.

Beliau menambah, ia juga merupakan manifestasi sebenar Mesra Niaga sebagai tanda keprihatinan dan sokongan PPZ-MAIWP bersama rakan-rakan sinergi yang komited kepada peniaga kecil untuk membawa perniagaan mereka daripada mikro hingga ke makro.

Kempen berlangsung selama tiga bulan bermula 24 Julai sehingga 24 Oktober 2023 dan terbuka kepada usahawan mikro seperti peniaga, penjaja serta usahawan berskala kecil dan sederhana yang menunaikan zakat perniagaan di PPZ-MAIWP.

"PPZ-MAIWP turut menggalakkan pembayar zakat perniagaan sedia ada untuk menyertai kempen ini dan tidak melepaskan peluang untuk menikmati pelbagai kelebihan ditawarkan oleh PPZ-MAIWP bersama rakan-rakan sinergi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Perkeso," katanya lagi.

Selain menawarkan perkhidmatan taksiran zakat perniagaan dan khidmat nasihat secara percuma, pembayar juga layak menikmati kelebihan seperti pendaftaran perniagaan secara percuma melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP).

Selain itu, ujarnya, pembayar juga akan mendapat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso serendah RM46.60 setahun dan Pembiayaan Mikro iTekad Maju oleh Bank Islam bermula RM10,000 hingga RM50,000 di samping sesi induksi, latihan dan bimbingan perniagaan bagi permohonan yang berjaya.

Layari https://bit.ly/MesraNiaga PPZ untuk menyertai kempen ini. Untuk sebarang pertanyaan dan makluman lanjut mengenai kempen ini, sila hubungi talian zakat 1 300 88 5757.