Alumni 4B Malaysia ikrar sokong Ahmad Zahid

Saarani hadir menyempurnakan Majlis Makan Malam dan Perasmian Perhimpunan Agung Alumni 4B di Pusat Konvensyen Casuarina pada Jumaat.
Saarani hadir menyempurnakan Majlis Makan Malam dan Perasmian Perhimpunan Agung Alumni 4B di Pusat Konvensyen Casuarina pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Alumni 4B Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemudi UMNO dalam kerajaan Perpaduan.

Presidennya, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al Husaini berkata, ikrar sokongan tersebut merupakan antara resolusi yang dibawa untuk diluluskan dalam perhimpunan agung tahunan (AGM) pertubuhan itu pada Sabtu.

Menurutnya, Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO telah menjalankan tanggungjawab dalam memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negara dengan baik.

"Institusi presiden itu perlu disokong dan kerana itulah resolusi ini kita bawa untuk diluluskan supaya tidak berlaku keadaan kucar kacir dalam UMNO itu sendiri.

"Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita berdiri teguh menyokong kerajaan sedia ada terutama kepimpinan Datuk Seri Zahid," katanya kepada pemberita sempena Majlis Makan Malam dan Perasmian Perhimpunan Agung Alumni 4B di Pusat Konvensyen Casuarina dekat sini pada Jumaat.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Setiausaha Agung Pertubuhan Alumni 4B Malaysia, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim serta Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Syed Azmi Ahmad turut menyatakan pendirian pertubuhan yang tidak bersetuju dengan tindakan sebahagian pemimpin UMNO mengkritik kepimpinan secara terbuka berikutan kekalahan calon parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Katanya, setiap pandangan, pendapat mahupun kecaman terhadap pemimpin harus disuarakan dalam perbincangan terutama di peringkat majlis kerja tertinggi (MKT).

Artikel Berkaitan:

"Tidak perlu nak tunjuk hero dengan bercakap sana sini mengenai presiden.

"Kita tidak boleh menuding jari kepada seorang sahaja kerana setiap organisasi di peringkat MKT, Pemuda, Wanita dan Puteri ada pemimpinnya, maka semua kena bertanggungjawab bersama-sama presiden," katanya.

Pertubuhan Alumni 4B Malaysia bawa resolusi ikrar sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pertubuhan Alumni 4B Malaysia bawa resolusi ikrar sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berharap, Alumni 4B dapat terus membantu mempergiatkan lagi usaha memberikan tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman bersama Gerakan Belia 4B di seluruh negara dalam mengukuhkan semangat berpersatuan dan berpasukan.

Ujarnya, kesinambungan itu penting, supaya generasi muda Gerakan Belia 4B baik di cawangan-cawangan, kawasan dan negeri lebih terarah dan dapat dipandu dengan dengan berkesan.

"Sepantas mana pun zaman beredar, saya selalu mengharapkan entiti orang muda seperti Gerakan Belia 4B ini akan terus teguh sebagai pemangkin anak muda.

"Di sinilah Alumni 4B boleh memainkan peranannya dengan berkesan, meneladani dan membimbing belia melalui pengalaman yang ada," katanya.