Harimau Muda bangkit tundukkan Indonesia

Tierney muncul wira apabila meledak dua gol untuk memastikan tiga mata berharga buat Harimau Muda. - Foto FAM
Tierney muncul wira apabila meledak dua gol untuk memastikan tiga mata berharga buat Harimau Muda. - Foto FAM
A
A
A

PASUKAN bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara bermula langkah kanan apabila menundukkan Indonesia 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Jumaat.

Penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Fergus Tierney yang dimasukkan pada babak kedua perlawanan menjadi wira apabila meledak dua gol untuk memastikan tiga mata berharga kepada Harimau Muda.

Bagaimanapun, Indonesia yang berstatus Juara Sukan SEA Kemboja menguasai perlawanan pada separuh masa pertama melalui beberapa percubaan bahaya ke arah gawang gol negara yang dikawal Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Skuad kendalian Shin Tae-yong itu menghukum kealpaan pertahanan negara pada minit ke-29 menerusi penyerangnya, Muhammad Ramadhan Sananta yang berjaya mengelecek Saiful Jamaluddin sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Rahadiazli.

Menyedari perlu bangkit, pengendali skuad B-23 negara, E Elavarasan melakukan pertukaran dengan membawa masuk Tierney pada separuh masa kedua dan membuahkan hasil apabila dia berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh Kadek Arel Priyatna.

Pemain kacukan Malaysia-Scotland itu tidak mensiakan peluang menyempurnakan penalti tersebut untuk gol penyamaan pada minit ke-54.

Selang lapan minit kemudian, Tierney sekali lagi membuktikan kualiti yang dimilikinya apabila meledak gol kemenangan buat pasukan negara.

Kemenangan itu meletakkan Harimau Muda di kedudukan teratas Kumpulan B dan dijadualkan menentang Timor Leste pada aksi terakhir pada Selasa ini.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan format kejohanan, tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos, seterusnya aksi penentuan tempat ketiga dan final akan berlangsung pada 26 Ogos.