Tetap gementar, Cakra Khan kongsi pengalaman di pentas AGT 2023

Cakra Khan mendapat empat 'yes' daripada juri AGT 2023 iaitu Simon Cowell, Heidi Klum, Sofia Vergara dan Howie Mandel
Cakra Khan mendapat empat 'yes' daripada juri AGT 2023 iaitu Simon Cowell, Heidi Klum, Sofia Vergara dan Howie Mandel
A
A
A

BIARPUN berpengalaman, penyanyi popular dari Indonesia, Cakra Khan mengakui tetap merasa gementar ketika beraksi di pentas uji bakat America's Got Talent (AGT) 2023 baru-baru ini.

Bahkan tekanan yang dihadapi ketika itu sedikit sebanyak mempengaruhinya ketika menyampaikan lagu Make It Rain nyanyian Ed Sheeran dan diikuti No Woman, No Cry (Bob Marley).

"Berada di AGT 2023 pastinya membuatkan saya 'nervous', malah jika buat persembahan di mana pun, perasaan 'nervous' itu tetap akan ada.

"Cuma bezanya jika buat persembahan di Indonesia, ada teman-teman yang menunggu saya di belakang pentas. Namun di sana, saya sendirian dan yang berada di belakang pentas semuanya saya tidak kenal.

"Oleh sebab itu saya merasakan tekanan yang sangat luar biasa," ujarnya ketika ditemui pada sidang media konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur secara virtual baru-baru ini.

Menerusi rakaman episod uji bakat Cakra di AGT 2023 yang disiarkan 18 Julai lalu, penyanyi berusia 31 tahun itu mendapat empat 'yes' daripada juri iaitu Simon Cowell, Heidi Klum, Sofia Vergara, dan Howie Mandel.

Biarpun lagu pertamanya dihentikan oleh Cowell, Cakra berkata, apa yang difikirkan pada ketika itu adalah untuk menyelesaikan persembahan.

"Bila diberi peluang lagu kedua, saya tidak fikir komen, tetapi apa yang penting saya dapat selesaikan dengan sebaik mungkin. Bila sudah selesai rasa lega," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Cakra bakal mengadakan konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur - Dream Festival Collaboration Volume 4 di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September depan.

Ujarnya, persiapan menjelang konsert sedang giat dilakukan dan akan diserikan dengan dua artis jemputan iaitu Riri Moeya dan Nadeera Zaini.

"Sekarang ini, saya masih menjalani latihan kerana saya orangnya mahu ingin memberikan maksimum yang boleh. Saya juga berlatih menyanyi hampir setiap hari.

"Dalam masa sama, rehat juga sangat penting, jadi saya perlu istirehat secukupnya dan jaga kesihatan," katanya yang memilih untuk merahsiakan lagu yang bakal didendangkan nanti.

Tiket menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol 4 - Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dijual pada harga RM178, RM198, RM318, RM508 dan RM5,880 (Royal Box untuk lapan penonton) boleh diperoleh dengan melayari www.ticket2u.com sejak 15 Julai lalu.