Arab Saudi hukum mati warga AS dera, bunuh bapa sendiri

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RIYADH - Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang disabitkan mendera dan membunuh bapa sendiri.

Hukuman tersebut menjadikan sekurang-kurangnya 19 orang warga asing dihukum mati pada tahun ini.

Agensi Akhbar Saudi (SPA) melaporkan hukuman mati ke atas Bishoy Sharif Naji Naseef dijalankan di wilayah Riyadh.

Kerajaan Teluk sering dikritik kerana kerap menjalankan hukuman mati dengan kumpulan hak asasi manusia berkata, ia akan menjejaskan usaha Arab Saudi memperbaiki imejnya melalui agenda pembaharuan sosial dan ekonomi menjelang 'Wawasan 2030'.

SPA menambah, mahkamah mendapati bahawa Bishoy, yang umurnya tidak didedahkan telah memukul dan mencekik bapa sehingga mati dan selepas itu dia menggunakan dadah dan cuba membunuh orang lain.

Bagaimanapun, jenis hukuman mati tidak didedahkan namun Arab Saudi sering melaksanakan hukuman pancung kepada pesalah yang melakukan kesalahan berat.

Dalam pada itu sekutu Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS) tidak mengulas lanjut mengenai pelaksanaan hukuman tersebut.

"Kami menyedari laporan itu dan sedang memantau situasi tersebut, namun tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel kepada pemberita.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kali terakhir, seorang pegawai konsulat AS melawat Bishoy pada Julai lalu. - AFP