Polis buru pemandu Honda City, Civic sebabkan kemalangan

Rakaman kamera papan pemuka memaparkan dua kereta dipandu dengan cara yang melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.
Rakaman kamera papan pemuka memaparkan dua kereta dipandu dengan cara yang melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat memburu dua pemandu kereta jenis Honda yang terlibat dalam satu kemalangan membabitkan empat buah kenderaan dari arah pusat bandar Kuala Lumpur menghala ke Bulatan Segambut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dua kenderaan yang disyaki terlibat dalam kemalangan tular itu adalah kereta jenis Honda City dan Honda Civic.

"Pemilik dua kenderaan ini sedang dikesan PDRM ekoran tular video rakaman dashcam di media sosial Facebook yang dimuat naik oleh Daily Traffic Report memaparkan dua buah motokar yang dipandu dengan cara yang melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 11.45 malam Isnin, melibatkan kenderaan jenis Volkswagen Golf berwarna merah, Proton Wira berwarna kelabu dan dua kereta jenis Honda City dan Honda Civic yang sedang dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kejadian berlaku semasa pemandu Volkswagen Golf sedang memandu di lorong ketiga, manakala Proton Wira kelabu dipandu di lorong kedua dari arah pusat bandar Kuala Lumpur menghala ke Bulatan Segambut.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian datang dua buah kenderaan jenis Honda City dan Honda Civic yang dipercayai sedang memandu secara melulu dan berbahaya dari arah yang sama.

Jelasnya, Honda Civic telah melanggar bahagian kiri Volkswagen Golf menyebabkan kenderaan tersebut terbabas dan melanggar batu penghadang di kanan jalan, seterusnya terbabas masuk semula ke laluan Proton Wira.

Kata beliau, insiden mengejut itu menyebabkan Proton Wira melanggar kenderaan Volkswagen Golf.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua pemandu kenderaan Volkswagen Golf dan Proton Wira telah tampil membuat laporan polis dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sementara pemandu Honda City dan Honda Civic masih belum tampil membuat sebarang laporan polis," ujarnya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut dan mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Rosdi Ahmad @ Osman di talian 019-3331166 atau menghubungi Balai Polis Trafik JSPT Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.