Jurulatih Zii Jia terkejut peraturan 'pelik' BAM

Tat Meng (kanan) terkejut dengan peraturan baharu BAM berkaitan dengan syarat pakaian. - Foto Agensi
Tat Meng (kanan) terkejut dengan peraturan baharu BAM berkaitan dengan syarat pakaian. - Foto Agensi
A
A
A

JURULATIH Lee Zii Jia, Wong Tat Meng menyuarakan rasa hairan mengenai peraturan baharu yang dikenakan terhadap para pemain badminton profesional negara sekiranya mahu berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa seperti ‘dibuli’ apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mewajibkan pemain-pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu.

Tat Meng meluahkan rasa kecewa ketika peraturan berkenaan dikuat kuasa ketika skuad negara giat berlatih untuk mengharungi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark minggu depan.

“Sebelum Kejohanan Dunia, BAM beritahu kami bahawa mereka mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM jika mereka mahu berlatih bersama pada Rabu.

“Saya amat terkejut dengan peraturan ini kerana ia dikuat kuasa ketika persiapan menjelang Kejohanan Dunia. Sejak Disember lalu, BAM menjemput Zii Jia untuk berlatih bersama pemain naungan BAM setiap Rabu dan kami berbesar hati.

“Konflik penajaan bukan sahaja pertimbangan BAM, begitu juga untuk pasukan kami yang bukan sahaja melibatkan Zii Jia, malah barisan jurulatih serta pakar kecergasan dan fisio. Disebabkan itu kami tidak dapat memenuhi jemputan latihan ke ABM sebelum ke Denmark,” katanya mnerusi kenyataan di Instagramnya pada Rabu.

Tat Meng turut mempersoalkan pendirian BAM sebelum ini yang tidak membezakan semua pemain di bawah nama Malaysia sama ada bernaung dengan badan induk itu atau bergerak secara profesional.

“BAM kerap menyatakan tidak kira pemain kebangsaan atau profesional, mereka semua adalah pemain Malaysia dan kegemilangan dikongsi bersama, namun peraturan ini tidak melambangkan rasa bersama itu,” katanya yang mula melatih Zii Jia bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

BAM ketika ini ditaja oleh syarikat peralatan sukan terkemuka, Yonex, manakala Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor selepas dia meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional awal tahun lalu.

Tat Meng menjelaskan, kenyataan yang dibuatnya itu bagi mengelakkan sebarang salah faham daripada pelbagai pihak bahawa mereka enggan bekerjasama dengan BAM.