Bersama bangunkan negara dengan semangat perpaduan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PILIHAN Raya Umum (PRU) sudah, pilihan raya negeri (PRN) pun sudah. Kerajaan negeri baharu juga terbentuk sudah. Jadi sudah tiba masanya untuk semua pihak sama ada pihak kerajaan, pembangkang dan rakyat fokus kepada meneruskan kesinambungan kehidupan dengan cara masing-masing.

Sejak PRU14 lagi, kita semua pasti sudah letih dihidangkan dengan cerita dan kemelut politik serta pentadbiran negara.

Sampai ada masanya, perjalanan pengurusan negara tergantung seketika dek terpaksa melayan kerenah politikus yang tak sudah-sudah buat onar.

Kepada orang politik tak kira daripada parti mana sekalipun, cukup-cukuplah cipta drama kalian sehingga menjejaskan kestabilan ekonomi dan pembangunan negara.

Tumpukan kepada amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan oleh rakyat ke bahu anda. Buat kerja, bela nasib rakyat, selesaikan 1,001 masalah yang ditanggung masyarakat selama kamu sibuk berpolitik sebelum ini.

Terimalah hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini adalah kerajaan yang sah. Jadi tak perlu lagi untuk rancang macam-macam langkah bagi jatuhkan kerajaan secara tidak sah atau tebuk atap.

Begitu juga dengan Kerajaan Perpaduan, mereka juga perlu fokus kepada usaha menjayakan pembangunan negara dan merealisasikan Pelan Ekonomi Madani yang baharu dilancarkan bulan lepas.

Seperti mana ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRN yang mana beliau meminta semua pihak untuk terus bekerja dalam semangat perpaduan demi kemakmuran negara.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Perpaduan yang sering melaungkan slogan keadilan untuk semua perlu membuktikan kata-kata mereka dengan memberi layanan sama rata dan adil kepada wakil rakyat daripada blok pembangkang.

Jangan nafikan peruntukan pembangunan untuk semua kawasan yang diwakili pembangkang dan jangan anak tirikan negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional dan Pas.

Mereka juga adalah pembayar cukai dan penjana hasil kepada kerajaan, jadi mereka juga ada hak untuk mendapat nikmat pembangunan, kebajikan dan kestabilan ekonomi seperti mana rakyat di negeri yang diperintah parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Biarlah untuk tempoh lima tahun akan datang, kita semua dapat bekerjasama dan berusaha menyumbang kepada kemakmuran negara dalam suasana serta semangat perpaduan Malaysia Madani.