13 kategori jadi perhatian di Anugerah TikTok 2023

Barisan finalis untuk TikTok Award 2023. - FOTO ROSLI TALIB
Barisan finalis untuk TikTok Award 2023. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

BAGI memberi penghargaan kepada pencipta kandungan tempatan berbakat yang berani mencabar batasan kreatif dan menjadi sumber inspirasi kepada komuniti, laman terkemuka bagi video mudah alih berformat pendek, TikTok mengadakan Anugerah TikTok 2023 pada 27 Ogos depan.

Ketua Pemasaran dan Operasi TikTok Malaysia, Yin Yin Hooi berkata, bagi edisi pertama ini sebanyak 13 kategori dipertandingkan, terbahagi kepada Pilihan Juri dan Pilihan Popular (Peminat).

"Bagi Pilihan Juri, calon dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan keputusan akan dibuat oleh sebuah panel eksekutif termasuk Pengurus Besar Operasi & Pemasaran TikTok, Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra.

"Bagi Pilihan Popular pula, TikTok akan membuka undian untuk orang awam dan para peminat boleh menunjukkan sokongan mereka dengan mengundi pencipta kegemaran mereka bermula dari 15 Ogos hingga 26 Ogos, jam 11.59 malam," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah TikTok 2023 di The Godown Art Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah Yin Yin, TikTok bukan hanya sebagai platform buat mereka berkongsi video kreatif, tetapi sebagai salah satu platform memberi inpirasi kepada orang lain.

Yin Yin (dua dari kiri) bersama Pengurus Besar Operasi & Pemasaran TikTok, Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra (dua dari kanan). - FOTO ROSLI TALIB
Yin Yin (dua dari kiri) bersama Pengurus Besar Operasi & Pemasaran TikTok, Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra (dua dari kanan). - FOTO ROSLI TALIB

"Sejak ditubuhkan, TikTok telah menjadi platform yang memupuk semangat ekspresi kreatif, tulen dan positif, serta telah mencorak sebuah komuniti yang utuh dan inklusif melalui sejenis bahasa yang dikongsi bersama, iaitu video.

"Berlatarkan pelbagai topik dari pendidikan, makanan hingga ke kecantikan, komuniti pencipta di TikTok berjaya melahirkan segmen dan pengikut mereka sendiri. Hari ini, ramai dalam kalangan mereka yang dikenali sebagai selebriti dalam talian dan akan terus meninggal jejak mereka di For You Page (FYP).

Artikel Berkaitan:

"Tema ‘Yang Gah di Skrin Kecil’ mendemonstrasikan potensi membatasi sempadan untuk warga pencipta kita menggandakan dan mempersembahkan kejayaan mereka di atas pentas besar, seperti yang bakal kita saksikan pada 27 Ogos ini," jelasnya.

Justeru bagi meraikan acara terbesar berkenaan, Sinar Harian akan bekerjasama sebagai media strategik untuk menyokong dan meraikan kejayaan pencipta kandungan yang kreatif, memberi inspirasi dan pendidikan.

Pada malam itu nanti, penonton dan peminat berpeluang melihat pemenang bagi kategori Pilihan Juri iaitu Best of Beauty & Fashion, Best of Education, Best of Entertainment, Best of Foodie, Best of Gaming dan Best of Sports.

Begitu juga dengan tujuh kategori Pilihan Popular (People’s Choice) iaitu Creator of the Year, Rising Star of the Year, Popular Creator of the Year, Popular Animation Account of the Year, Celebrity of the Year, Live Creator of the Year dan TikTok Shop Creator of the Year.

Untuk Pilihan Popular, TikTok akan membuka undian untuk orang awam dan para peminat boleh menunjukkan sokongan mereka dengan mengundi pencipta kegemaran mereka menerusi https://vt.tiktok.com/ZSL9kXUe5/.

Tidak lengkaplah sebuah majlis anugerah tanpa aspek fesyen yang bakal menyerikan lagi acara ini.

Dengan itu, TikTok juga akan menyampaikan Anugerah Busana Terbaik (Best Dressed Awards) kepada peserta yang mendapat markah tertinggi dari sudut gaya dan originaliti.

Setelah disenarai pendek oleh panel juri, orang awam berpeluang untuk memilih peserta dengan busana terbaik bagi malam tersebut.

Malam kemuncak Anugerah TikTok Malaysia 2023 dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur dan akan menghimpunkan mereka yang terbaik dalam arena penciptaan konten.

Pada majlis sama, pengacara popular, Sherry AlHadad, Amelia Henderson dan Izzue Islam akan bergabung sebagai pengacara pada malam kemuncak itu, manakala Sissy Iman bersama personaliti TikTok Ceddy bertindak selaku pengacara karpet merah.

Penyanyi Neeta Manis akan bergandingan dengan Jaa Suzuran sebagai pengacara di belakang pentas.