Zarul Umbrella puji kru kendali gangguan dalam pesawat MH122

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Zarul
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Zarul
A
A
A

PENYANYI dan pelakon, Zarul Umbrella memuji cara kapten dan anak kapal mengawal insiden melibatkan seorang penumpang yang didakwa membuat gangguan terhadap penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH122 yang dalam penerbangan dari Sydney, Australia ke Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut Zarul yang juga merupakan bekas pramugara di sebuah syarikat penerbangan tempatan, situasi seperti ini harus dikawal dengan tenang bagi memastikan penumpang lain tidak berasa terancam.

“Demi keselamatan penumpang lain penerbangan MH122 berpatah balik ke Sydney. Tahniah kepada anak kapal MH122, dapat handle (mengendalikan) situasi dengan tenang.

“Penumpang-penumpang macam ni kita kena monitor dan layan dia elok-elok. Cuba jangan bagi dia kacau penumpang lain. Jangan simbah api pada minyak panas.

“Apapun kisah di sebaliknya kita tak tahu tapi pengajarannya di sini ialah sikap profesionalisme yg ditunjukkan oleh anak kapal MH adalah sangat dibanggakan.

“Keputusan yang bagus daripada kapten, patah balik ke Sydney bagi polis sahaja uruskan. Habis cerita,” tulisnya.

Respons tersebut dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu Ramalanku Benar-Benar Belaka itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.

Pada masa sama, Zarul turut mendedahkan dirinya pernah berhadapan dengan situasi yang hampir tetapi ia melibatkan penumpang mabuk.

Artikel Berkaitan:

“Saya pun uruskan penumpang mabuk macam inilah. Layankan sahaja dia asal dia jangan kacau penumpang lain dan tidak menggugat keselamatan kapal dan penumpang lain,” kongsinya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memuji tahap profesionalisme kapten dan anak kapal MH112 selain turut berharap agar pesawat dapat pulang ke tanah air dengan selamat.

“Malaysian hospitality. Dalam keadaan tegang masih boleh tenang. Terbaik.

“Seram juga. Tapi betul, dalam keadaan begini, kena tenang. Jangan provoke dia lagi. Good job MH crew. Proud.

“Semoga dipermudahkan urusan sahabat-sahabat kita pulang ke tanah air. InsyaAllah.

“Salute dengan kabin kru,” antara komen-komen netizen di Instagram.

Terdahulu, disebabkan insiden tersebut, sekurang-kurangnya 32 penerbangan domestik telah dibatalkan.

Lapangan Terbang Sydney dalam satu kenyataan memaklumkan penerbangan domestik turut berdepan kelewatan sehingga 90 minit akibat insiden tersebut.

Terdahulu, Polis Persekutuan Australia (AFP) memaklumkan seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan tanpa sebarang pergelutan dan dijangka didakwa lewat Isnin malam kerana membuat gangguan.

Jelas AFP, semua penumpang telah dipindahkan dari pesawat berkenaan dan insiden tidak mencetuskan sebarang ancaman terhadap masyarakat.

Penerbangan itu meninggalkan Sydney pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan mendarat semula di landasan pada pukul 3.47 petang.

Penerbangan MH122 membawa 194 penumpang dan lima kru. - Media Hiburan

ARTIKEL BERKAITAN:

Pesawat MH122 terpaksa berpatah balik akibat 'gangguan' penumpang

Penumpang MH122 dipindahkan ke penerbangan seterusnya - Malaysia Airlines

Penumpang bikin kecoh dalam pesawat MAS kena tahan

Penerbangan MH122 berpatah balik: Lelaki didakwa selepas cetus gangguan