Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak

A
A

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan perkenalan kerajaan baharu dengan frasa Kedaulatan Undang-Undang.Kedaulatan Undang-Undang yang diterjemahkan daripada frasa Rule of Law itu menjadi tagline Pakatan Harapan (PH). Ia meniti di bibir masyarakat. Ia juga menjadi indikasi komitmen kerajaan untuk mentadbir negara berdasarkan korpus perundangan terutamanya Perlembagaan Persekutuan.

Sepanjang setahun PH mentadbir kerajaan Malaysia, banyak perkara berkaitan kedaulatan undang-undang terutama perlembagaan telah menjadi tajuk utama. Walaupun sebelum ini, semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), isu-isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan sering juga berada di pentas utama. Namun pada tahun pertama pentadbiran PH, ia menjadi semakin rancak. Mungkin usaha merakyatkan perlembagaan yang bermula lebih dua dekad yang lalu telah membuahkan hasil.

Setelah setahun PH menerajui Malaysia, beberapa perkara berkaitan perlembagaan telah mendapat perhatian. Isu-isu besar berkaitan perundangan dan perlembagaan boleh dikategorikan dalam beberapa sub-tajuk. Sub-tajuk tersebut termasuklah Raja Berperlembagaan, federalisme, Islam dan Melayu serta ratifikasi instrumen antarabangsa.

Mengenai amalan sistem Raja Berperlembagaan, tiada definisi khusus yang diberikan oleh perlembagaan. Dalam konteks penggubalan Perlembagaan Persekutuan, istilah itu disebut dalam Laporan Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan bagi membuat cadangan peruntukan perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu 1957. Perlembagaan Persekutuan tidak mentafsirkannya. Ia hanya dapat dilihat daripada ciri-cirinya. Rata-rata dalam perbincangan semasa, apa yang tersebar dalam kalangan khalayak ialah sistem itu difahami sebagai raja yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau menteri yang bertindak bagi Jemaah Menteri. Perkara 40(1) dan (1A) sering dijadikan hujah.

Ini adalah sifat umum Raja Berperlembagaan. Namun, Perkara 40(1) juga menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong berhak untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan negara.

Ini menunjukkan bahawa amalan Raja Berperlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan berhasrat untuk menjadikan semua tindakan atas nasihat itu berlaku secara dua hala.

Oleh kerana itu, dalam laporan Suruhanjaya Reid, ada dinyatakan pada perenggan 58 bahawa “...The choice of the Prime Minister and the dissolution of Parliament should, we recommend, be his constitutional responsibility, and he will be entitled to be kept informed with regard to important public affairs and to make his views known to the Prime Minister”.

Sesungguhnya kajian akademik tentang prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan itu perlu diperkasakan. Kita tidak boleh mengambil mudah tentangnya kerana ia melibatkan entiti penting pembentukan dan pembinaan negara iaitu institusi beraja. Walau apa pun anggapan yang dilemparkan kepada susuk tubuh raja, hak baginda dan institusi beraja adalah dijamin perlembagaan, sama ada Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang tubuh bagi negeri-negeri yang membentuk Malaysia terutama negeri-negeri Melayu yang mempunyai raja.

Pindaan-pindaan tertentu berkaitan institusi raja telah berlaku sebelum ini terutama imuniti raja dalam kapasiti peribadi baginda dalam Perkara 32 dan 181(2) Perlembagaan Persekutuan dan mohor besar Yang di-Pertuan Agong kepada Rang Undang-Undang dalam Perkara 66 telah ditiadakan. Walaupun kuasa raja-raja telah dikurangkan, itu tidak bermakna raja-raja telah hilang kesemua kuasa.

Persetujuan Agong

Saya memetik kata-kata Perdana Menteri: “Sebenarnya terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam Perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebahagian daripadanya tanpa mendapatkan nasihat Perdana Menteri. Terlebih penting, persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih lagi diperlukan jika akta yang dicadangkan menyentuh kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong”. Lihat https://www.pmo.gov.my/2018/07/isu-mengenai-kajian-dan-pindaan-semula-perkara-664a-perlembagaan-persekutuan/.Berkaitan sistem federalisme, sejak pentadbiran BN lagi isu itu sering berbangkit terutama berkaitan hak negeri-negeri termasuklah royalti hasil minyak dan pelbagai hal lain.

Semasa pentadbiran PH dalam setahun ini, Sabah dan Sarawak telah menegaskan hak mereka sehingga kerajaan mengambil keputusan segera untuk mencadangkan pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan telah dibentangkan di Dewan Rakyat. Pindaan tersebut mencadangkan untuk mengasingkan negeri-negeri Sabah dan Sarawak dari negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu.

Cadangan pindaan tersebut walau bagaimanapun gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti Dewan Rakyat.

Kegagalan pindaan Perlembagaan itu merupakan peristiwa yang perlu dicatat kerana ia pertama kali berlaku dalam 60 umur Parlimen. Antara komen-komen yang kedengaran tentang kegagalan ini termasuklah pindaan tersebut dibuat secara tergesa-gesa.

Sementara itu, perbincangan bersama pihak-pihak berkaitan terutama negeri Sabah dan Sarawak tidak lengkap. Walau apa pun sebabnya, ini adalah satu pengajaran besar dan kerajaan perlu mengambil iktibar. Kegagalan cadangan meminda Perlembagaan adalah isu besar.

Ratifikasi instrumen atau perjanjian antarabangsa juga melibatkan hal perundangan dan Perlembagaan. Dua peristiwa berkaitan ratifikasi perjanjian antarabangsa iaitu menandatangani dan meratifikasi ICERD dan ratifikasi Statut Rom. Cadangan kerajaan untuk menandatangani ICERD telah mendapat perhatian rakyat sehingga satu perhimpunan besar-besaran telah berlaku. Penolakan kepada cadangan meratifikasi ICERD dikaitkan dengan ancaman kepada kedudukan Islam, budaya dan bangsa.

Isu ratifikasi Statut Rom juga tidak kurang seriusnya. Ia menjadi perbahasan awam sehingga berlaku tuding jari dalam kalangan pelbagai pihak.

Pengajaran yang perlu diambil dalam perkara itu adalah proses menandatangani atau ratifikasi triti antarabangsa hendaklah dilakukan secara berhati-hati. Dari dahulu sehingga kini tiada proses tetap atau prosedur standard berkaitan penerimaan instrumen antarabangsa.

Ia dilakukan oleh kerajaan dengan pendekatan lama, walaupun suasana telah berubah. Pembaharuan yang mungkin perlu dilakukan oleh kerajaan ialah dengan memperkenalkan satu standard operating procedure (SOP) dalam penerimaan triti antarabangsa.

Sekiranya perlu, kerajaan boleh menetapkan bahawa proses ratifikasi perlu melalui Majlis-Majlis Parlimen terutama Dewan Rakyat. Ia juga perlu melalui perbahasan di Dewan Negara sebagai Majlis Parlimen yang mempunyai kepakaran dan sedikit jauh daripada situasi politik kepartian.

* Prof Madya Dr Shamrahayu Ab. Aziz ialah Pakar Perlembagaan yang berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)