'Guna formula Gelombang Biru ubah kepimpinan parti'

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Nasir
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Nasir
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO diseru menggunakan formula Gelombang Biru sebagai panduan merubah kepimpinan parti secara menyeluruh demi mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, perubahan kepimpinan itu perlu bermula sekarang dan ketua parti harus bertanggungjawab dalam perkara tersebut demi kelangsungan parti keramat berkenaan.

"Mengambil formula gerakan Gelombang Biru tahun 2004, apabila UMNO kalah di Terengganu pada 1999, Pengerusi Perhubungan UMNO, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Ketua-Ketua Umno Bahagian yang semuanya 'warlord' di Terengganu berjiwa besar untuk memberi laluan dan bersetuju untuk tidak lagi bertanding.

"UMNO Terengganu kemudiannya berwajah baru, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik bagi menerajui UMNO negeri dan saya sebagai ketua penerangan, kami masing-masing berusia 45 dan 43 tahun ketika itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Barisan Nasional (BN) merekodkan prestasi buruk apabila hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menegaskan, perubahan secara total UMNO Terengganu juga berjalan seiring dengan perubahan kepimpinan di peringkat pusat, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu mengambil alih pimpinan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Agak sukar untuk dihadam keputusan PRN baru-baru ini melihatkan peralihan sokongan orang Melayu, (mereka) meninggalkan UMNO terutamanya di Terengganu dan Kedah.

"Apa yang menyedihkan lagi, perubahan ini bukanlah sesuatu yang tidak dijangka tetapi ia satu fakta yang tidak mahu diakui oleh kepimpinan yang memejamkan mata dan memekakkan telinga

Artikel Berkaitan:

"Pendukung BN secara terang-terangan telah menyatakan isi hati mereka menolak gabungan Pakatan Harapan (PH)-BN dan ini adalah signal jelas yang UMNO perlu direset kembali supaya lebih menarik," ujarnya.

Mohd Nasir menambah, beliau juga merasa cukup terkesan melihat UMNO Terengganu mendapat keputusan yang begitu jelik terutamanya apabila kerusi tradisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang juga kerusi bapa beliau, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri Mohammad semenjak pilihan raya umum pertama telah ditawan parti lawan.

"Kerusi Seberang Takir ini begitu unik, ianya direka secara spesifik untuk bertahan dalam apa jua gelombang politik yang melanda. Kekalahan ini amat menyedihkan dan di luar jangkaan.

"Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang mewakili kerusi ini (sebelum ini) perlu muhasabah diri bagaimana kerusi selamat ini boleh rebah tersungkur, perlu diingatkan juga negeri Terengganu ditawan oleh Pas ketika berada di bawah pentadbiran Razif sebagai Menteri Besar," jelas beliau.